Monday, April 25, 2011

HUBUNGAN ANTARA AGAMA DI MALAYSIA



Di Malaysia, berkongsi sambutan perayaan merupakan fenomena biasa dan merupakan salah satu medium untuk mendedahkan pemahaman antara agama dan budaya masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Selaras dengan gagasan 1 Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri najib Tun Razak yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum di Malaysia.

Dialog Antara Agama
Mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengulas mengenai konsep berdialog antara agama yang dicadang untuk dilaksanakan di Malaysia. Ujar beliau masyarakat Malaysia masih lagi berfikiran konservatif dan tidak selesa dengan idea dialog antara agama ini dan masa yang lama adalah perlu untuk menerapkan konsep ini kepada rakyat berbilang kaum.
Mantan Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mencadangkan kepada seluruh agama di dunia untuk berdialog secara terbuka terutamanya bagi menghapuskan salah tanggap terhadap kepercayaan masing-masing khususnya Islam. Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya wajar menyahut seruan Perdana Menteri kita sendiri. Umat Islam wajar mengusahakan momentum ke arah itu. Usaha mendidik masyarakat untuk berdialog adalah perlu. Dialog boleh merangkumi aspek-aspek keagamaan mahupun isu-isu sosial.

Sistem Pendidikan
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh di implimentasikan, antaranya melalui sistem pendidikan negara dan peranan media massa dalam menyebarkan maklumat yang sahih dalam usaha untuk menghilangkan rasa tidak selesa masyarakat terhadap kepercayaan agama lain. Punca utama timbul salah faham antara masyarakat adalah disebabkan kurangnya pengetahuan terhadap sistem kepercayaan agama lain. Perkara ini boleh menyumbang kepada sikap prejudis terhadap sesuatu agama dalam kehidupan.
Institusi pengajian tinggi wajar melaksanakan satu subjek yang memperkenalkan kepada pelajar setiap agama-agama yang wujud di dunia. Dengan cara ini, minda pelajar-pelajar dapat dibuka terhadap sesebuah agama untuk memastikan dialog antara agama tercapai di masa hadapan.
Bagi menangani perkara ini, kerajaan telah mengambil langkah dengan mewajibkan semua pelajar untuk mengambil subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) untuk membekalkan pelajar dengan ilmu mengenai sesebuah tamadun dan agama. Walaubagaimanapun, dialog antara agama wajar ditambah dalam mata pelajaran Titas bagi melahirkan pelajar dengan keyakinan yang cukup untuk berdialog dan mengemukakan hujah bernas untuk membetulkan tafsir dan kekeliruan yang menjadi dilema penganut agama lain terhadap agama Islam.

Islam Hadhari dan Dasar Islamisasi
Islam Hadhari yang dicanangkan oleh Tun Abdullah juga mempunyai kaitan yang kuat dalam hubungan antara agama dan juga pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia. Pelaksanaan dasar Islamisasi oleh kerajaan pada tahun 1982 telah membuatkan penganut agama lain risau berkenaan hak kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Mereka telah melaksanakan pelbagai agenda sehingga tertubuhnya Majlis Perundingan Agama-Agama Malaysia sebagai platform untuk menyuarakan tuntutan kepada kerajaan. Hal ini berikutan kegagalan pihak kerajaan untuk menerangkan keseluruhan dasar tersebut kepada masyarakat bukan Islam.
Dengan pelaksanaan Islam Hadhari, proses dialog antara kerajaaan dengan seluruh masyarakat terutama bukan Islam harus berjalan dengan lancar. Segala maklumat mengenai Islam Hadhari akan difahami dengan jelas dan segala salah faham dapat dielakkan. Disebabkan pelaksanaan Islam Hadhari yang dijalankan oleh kerajaan masih belum jelas, para penyelidik dan ahli akademik harus menjalankan penyelidikan dan mengadakan pendekatan menyeluruh.
Antara perkara-perkara penting yaang wajar dijadikan dasar kajian adalah seperti aspek budaya, kepercayaan dan agama. Semua faktor ini mampu memupuk sikap saling menghormati di antara masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya di negara ini. Dialog antara agama merupakan medium baru dalam berdakwah kepada kaum lain di samping medan untuk mencapai perpaduan dan kedamaian dalam negara yang berbilang agama, bangsa dan budaya seperti di Malaysia. 

No comments:

Post a Comment

Post a Comment