Sunday, October 20, 2013

Hutang Menghilangkan Ketenangan dalam Kehidupan

Alkisah pada suatu masa dahulu, terdapat sebuah negara yang menetapkan setiap rakyatnya berpeluang untuk menjadi raja selama setahun. Maka selepas berlalu tempoh yang diberikan, bekas raja itu akan dihantar ke sebuah pulau terpencil dan dipenuhi dengan hutan serta tiada manusia lain yang menetap disitu. Sebaik sahaja raja pertama ditabalkan, raja itu menikmati segala kemudahan, kuasa dan kesenangan yang dilimpahkan kepadanya.
Sekadar gambar hiasan
Apabila telah cukup tempoh yang diberikan selama setahun, perdana menteri mengumumkan bahawa yang tersebut akan dihantar dan ditinggalkan di pulau yang tidak berpenghuni itu pada keesokan harinya. Raja itu menangis dan merayu, namun kesemua itu tidak diendahkan. Beliau dicampakkan ke pulau itu. Selang esoknya, rakyat kedua pula telah dilantik menjadi raja dan menikmati kehidupan dengan kesenangan selama setahun. Apabila telah tiba pada hari yang ditetapkan, raja kedua itu juga turut menangis kerana akan ditinggal di pulau tersebut.

Sehingga kini, tidaklah diketahui akan nasib kedua-dua raja yang terdahulu. Rakyat jelata menjangkakan kemungkinan bekas raja tersebut telah dimakan oleh binatang buas. Apabila tiba giliran rakyat ketiga menjadi raja, pada hari dia telah ditabalkan menjadi raja yang sah, beliau memanggil mamanda perdana menteri serta para menterinya bagi menghadiri satu mesyuarat tergempar.

Beliau mahukan perdana menteri dan semua menterinya termasuk menteri kerja raya, menteri telekomunikasi, menteri perdagangan dan perindustrian, serta menteri lain pergi melawat ke pulau yang beliau akan duduk selepas berlalu tempoh setahun. Beliau mahukan para menterinya mencadangkan satu pelan pembinaan negara baru, iaitu pulau canggih dan terkemuka di dunia. Beliau mahukan sebahagian emolumen beliau sebagai raja, disalurkan untuk pembinaan di pulau itu.

Sepanjang setahun itu, raja yang bijaksana itu hidup dengan penuh sederhana dan penjimatan, kerana beliau mahukan masa depannya terjamin.

Apabila usia pemerintahannya genap setahun, perdana menteri mengumumkan, beliau akan ditinggalkan dipulau itu. Pada masa itu, dia bukan sahaja menadah tangan tanda kesyukuran kepada Allah, beliau turut diikuti semua rakyat mahu berhijrah kepada pulau itu kerana taraf kemodenan dan kemajuan pulau itu lebih baik daripada tanah besar yang mereka duduki sekarang.

Kisah ini, mungkin boleh dijadikan perumpamaan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura. Singapura mempunyai keluasan lebih kecil daripada negeri Perlis, tetapi keluaran dalam negara kasar (KDNK) Singapura adalah berkali ganda berbanding Malaysia. Singapura dikategorikan sebagai negara maju, manakala Malaysia masih dalam kategori negara membangun.

Begitu juga apabila kita membelanjakan di luar kawalan dan perkara membazir, seperti dalam majlis perkahwinan. Selepas berkahwin, kita terpaksa menangis seperti kedua-dua raja pertama dan kedua dalam kisah tadi.

Aturkan majlis perkahwinan kita secara tunai. Tidak perlu berhutang, kerana kebahagiaan kita bersama pasangan bukanlah ditentukan sebesar mana kenduri majlis perkahwinan. Oleh itu, jangan bazirkan duit kerana melayari bahtera perkahwinan itu penuh dengan ujian dan dugaan.

Perlu diingatkan juga, sebahagian daripada kita tamat belajar bukan sahaja dengan segulung sijil, diploma, ataupun ijazah, bahkan juga dengan segulung hutang pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Hampir setiap individu sudah menanggung hutang sebaik sahaja tamat belajar di universiti, disebabkan oleh pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Apabila kita memulakan kehidupan berumah tangga, bebanan hutang perkahwinan membuatkan hidup kita dikelilingi dengan hutang.

Selain itu, anak-anak juga terpaksa menanggung bebanan hutang akibat gaya hidup ibu bapa mereka yang serba moden.

Sumber : Diolah daripada buku Rancang Wang Sejak Jatuh Cinta nukilan Shamsuddin Kadir dan Ain Muhammad

1 comment:

  1. Artikel nya sangat bermanfaat :D
    kunjungi juga blog kami ada artikel menarik tiap hari nya http://idrmonopolyindo.blogspot.com/
    Jangan lupa main di indomonopoly http://www.indomonopoly.com/

    ReplyDelete