Monday, October 21, 2013

Kisah Mengenai Dajjal


Berita tentang bayi bermata satu yang dilahir di Israel beberapa tahun lalu menjadi gempar. Ramai yang membuat ramalan, inilah Dajjal yang dijanjikan Allah lewat hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. Kemunculan Dajjal di akhir zaman memang sentiasa ditunggu-tunggu. Dan memang kita pun sekarang ini telah berada di satu episod akhir zaman. Tanda-tanda kecil kiamat sudah kita lihat hampir keseluruhannya, setiap hari. Hanya menanti tanda-tanda besar saja yang belum berlaku. Antaranya Dajjal.

Dajjal, popularnya manusia yang memiliki nama itu. Ada berbagai-bagai versi cerita tentangnya yang menimbulkan bermacam-macam persepsi. Tapi kebanyakan orang Islam di Malaysia dan Nusantara amnya beranggapan Dajjal adalah makhluk bermata satu melintang. Ada juga yang mengatakan bahawa dia separuh manusia dan separuh jin kerana ibunya berasal dari keturunan jin dan ayahnya daripada bangsa Yahudi.

Sebagaimana yang telah disebutkan di awal-awal tadi, Dajjal adalah manusia dan sememangnya dia adalah manusia biasa. Dia bukan keturunan jin, gergasi, dewa atau apa saja yang selain manusia. Banyak persoalan yang timbul tentang Dajjal menjadi salah faham. Antaranya: Siapa dajal? Di mana tempat tinggalnya? Siapa keturunannya? Bila dia dilahirkan? Bagaimana rupa fizikalnya? Bila dia akan muncul? Dan bagaimana untuk mengelakkannya?

Memang benar Dajjal tidak ada disebut di dalam al-Quran tetapi ia banyak disebut di dalam hadis nabi. Malah banyak hadis nabi yang salih menceritakan tentang Dajjal, yang menyebutnya sebagai salah satu tanda besar kiamat. Masalahnya banyak juga hadis yang palsu tentang Dajjal, ia menimbulkan salah faham masyarakat tentangnya.

Menurut pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadlan Mohd. Othman, banyak hadis yang salih menceritakan perihal Dajjal yang lengkap termasuk untuk mengelakkan fitnah Dajjal.

Katanya berdasarkan dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, “Sesungguhnya Dajjal adalah lelaki yang pendek, badan gempal, matanya rosak (mengecut). Kalau kamu masih ragu-ragu tentang Tuhan kamu. Sesungguhnya Tuhan kamu tidak rosak matanya.”

Dari situ sudah jelas bahawa Dajjal adalah manusia biasa yang diberikan Allah kekuasaan luar biasa. Setiap nabi yang diutus akan memberi peringatan berkenaan Dajjal yang matanya rosak dan pembohong.

Tambahnya lagi, Dajjal adalah manusia yang ada keistimewaan, telah hidup sejak zaman Nabi Muhammad. Dia digelar al-Masihi ad-dajal kerana matanya yang rosak dan kebolehan luar biasanya menghidupkan orang mati.

“Tertulis di dahinya perkataan, ‘Kaf-Fa-Ra’ (kafir). Tulisan itu boleh dibaca oleh semua orang Islam sama ada dia pandai membaca atau tidak. Asalkan orang itu mengucap syahadat maka tulisan itu boleh dibaca.
Lakaran tulisan Kafir di dahi Dajjal

“Yang pastinya Dajjal adalah manusia yang ditangguhkan ajalnya oleh Allah, sehingga suatu masa dengan keizinan Allah dia akan muncul semula untuk menguji keimanan manusia,” jelas Fadlan.

Terdapat lagi hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah di dalam sahih Muslim bermaksud, “Dajjal ialah orang yang buta mata sebelah kirinya, lebat rambutnya serta mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya itu merupakan syurga dan syurganya pula adalah neraka.”

KEISTIMEWAAN DAJAL
Allah memberikan Dajjal banyak keistimewaan untuk menguji keimanan manusia ketika akhir zaman nanti. Semua itu telah dijelaskan di dalam hadis sahih. Di antara keistimewaannya selain boleh menghidupkan orang mati, dajal juga ada beberapa keistimewaan. Antaranya:

Pertama, ada bersamaan syurga dan neraka. Dajjal akan menggunakan kedua-duanya untuk menguji keimanan orang Islam. Apa yang dajal berikan sebagai syurga sebenarnya adalah neraka. Dan apa yang diperlihatkan sebagai neraka sebenarnya adalah syurga.

Kedua, Dajjal akan pergi ke daerah yang kemarau, kebuluran dan hasil dagangan tidak menjadi. Dajjal akan menurunkan hujan di daerah itu jika penduduknya mengaku beriman kepadanya. Maka daerah itu akan kembali subur dan hasil dagangan melimpah ruah. Manakala bagi daerah yang penduduknya tidak mahu mengaku Dajjal sebagai tuhan, akan berada di dalam kebuluran dan kesusahan.

Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud, “Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apa yang dimakan oleh orang Islam yang beriman pada hari itu nanti?”

Rasulullah menjawab, “Mereka akan menjadi kenyang dengan tahlil, takbir, tasbih dan bertaubat. Zikir-zikir itu yang akan menjadi makanan mereka.”

Ketiga, boleh menjelajahi seluruh pelosok bumi ini di dalam masa 40 hari dan kepantasan yang luar biasa. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan, “Kami bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kepantasan perjalanannya di muka bumi ini? Nabi menjawab: “Kepantasan perjalanannya adalah seperti Al-Ghaist (hujan atau awan) yang dipukul angin kencang.” Hanya dua tempat saja yang tidak boleh dimasuki oleh Dajjal iaitu Mekah dan Madinah.

Menurut Fadlan, Nabi mengingatkan orang yang beriman supaya menghindarkan diri dari berjumpa dengan Dajjal. Malah nabi bersabda, hanya seorang lelaki dari Madinah yang dapat berdepan dengan Dajjal. Lelaki itu akan mengatakan bahawa kamu adalah Dajjal lalu lelaki itu dibunuh oleh Dajjal. Kemudian Dajjal menghidupkan semula lelaki itu. Lalu Dajjal berkata tidakkah kamu percaya kepada aku. Lelaki itu menjawab, “Tidak, melainkan bertambah keimananku kepada Allah.” Kemudian Dajjal cuba membunuh lelaki itu tetapi telah diselamatkan oleh Allah.

BILA DAJAL DILAHIRKAN
Menurut Fadlan, Dajjal telah ada di muka bumi ini sejak zaman nabi lagi. Ia telah dipenjarakan di sebuah pulau seperti mana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah Qais, Nabi menceritakan tentang Tamin ad-Dari yang beragama Kristian tetapi telah memeluk Islam. Tamin pernah bercerita padaku tentang satu perkara yang pernah aku ceritakan kepada kalian mengenai al-Masihi ad-dajal.

Tamin telah berlayar bersama 30 orang anak kapalnya. Tiba-tiba kapalnya dipukul ribut dan mereka terdampar di sebuah pulau. Di pulau itu ada seekor binatang yang lebat bulunya hingga tidak dapat dikenal yang mana ekor dan kepalanya. Binatang itu yang dinamakan al-Jassasah (si pencari berita). Di situlah bermulanya dialog anataraTamim dan al-Jassasah.

Al-Jassasah: Wahai manusia pergilah kamu berjumpa dengan lelaki itu.

Lalu Tamim dan kumpulannya masuk ke dalam hutan dan berjumpa dengan manusia yang dimaksudkan. Lelaki itu mempunyai saiz badan yang besar daripada manusia biasa, dirantai dengan rantai yang cukup kuat, tangannya diikat ke leher, di antara lutut dan buku lalinya dirantai dengan besi.

Tamim: Siapakah kamu?
Dajjal: Kamu akan tahu siapa aku nanti. Tapi siapa kamu?

Tamim pun jelaskan siapa dia sebenarnya dan kisah kapalnya yang dipukul badai lalu terdampar di pulau itu.

Tamim: Kami adalah orang Arab, kami sesat.
Dajjal: Beritahu aku tentang kebun-kebun kurma di Bysan. Adakah ia sedang berbuah?
Tamim: Ya.
Dajjal: Sekejap lagi kebun itu tidak akan berbuah lagi. Beritahu aku tentang tasik Tabariah, adakah masih banyak airnya?
Tamim: Airnya banyak lagi.
Dajjal: Tidak lama lagi airnya akan berkurangan dan kering. Beritahu aku tentang mata air Zughar. Adakah masih banyak airnya dan digunakan oleh penduduk untuk bertani.
Tamim: Banyak dan masih digunakan oleh penduduk.
Dajjal: Tidak lama lagi air itu akan kering. Ceritakan padaku tentang nabi Arab yang buta huruf. Sudahkah dia keluar dari Mekah dan menetap di Madinah. Adakah orang Arab sudah memeranginya dan kemudian mentaatinya?
Tamim: Dia sudah keluar dari Mekah dan menuju Madinah. Orang Arab telah mentaatinya.
Dajjal: Betulkah itu? Sesungguhnya mentaatinya adalah lebih baik. Aku akan mengatakan pada kamu tentang diri aku. Aku adalah al-Masihi ad-dajal sesungguhnya masanya sudah semakin hampir aku akan diizinkan untuk keluar. Aku akan berjalan di muka bumi dan masuk ke seluruh daerah di dalam tempoh 40 hari kecuali Mekah dan Madinah. Kedua-dua negeri itu dilarang bagiku, setiap kali aku ingin memasukinya aku akan diadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan tajam menghambatku.

DAJJAL TINGGAL DI MANA?
Di manakah kedudukan pulau itu pun dijawab oleh Nabi Muhammad menerusi sabdanya,: “Ketahuilah bahawa Dajjal berada di laut Syam dan laut Yemen… akan datang dari arah Timur (lalu baginda menunjukkan tangannya sebelah Timur).” – Riwayat Muslim.

Kemudian ada satu lagi hadis yang menunjukkan dengan tepat dari mana Dajjal keluar yang kemudian disertai oleh pengikutnya terdiri dari orang perempuan dan kanak-kanak. Daripada Abu Bakr al-Siddiq, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Dajjal akan muncul ke bumi dari arah Timur bersama Khurasan.” Riwayat al-Tarmizi.

Di dalam hadis yang lain pula daripada Anas bin Malik, bersabda Rasulullah s.a.w.,: “Dajjal akan keluar dari kota Yahudi, Khurasan bersama 70,000 Yahudi dari Isfahan.” – Riwayat Imam Ahmad.

Menurut Fadlan, ketika keluarnya Dajjal, ramai perempuan dan kanak-kanak akan menjadi pengikutnya. Sehinggakan orang lelaki terpaksa bertindak mengikat ahli keluarga perempuan mereka supaya tidak menjadi pengikut Dajjal.

“Menerusi penyelidikan yang saya lakukan juga, didapati bahawa air tasik Tabaria yang terletak di sempadan Syria-Palestin dan mata air Zughar si Selatan Syria sudah semakin berkurangan.

Adakah itu bermakna Dajjal sudah semakin hampir tempoh pembebasannya. Jika benar apakah persediaan kita untuk menghadapinya?

Jelas Fadlan, Rasulullah telah memberikan beberapa tip kepada umatnya untuk mengelakkan fitnah Dajjal. Perkara pertama perlu dilakukan adalah menghafal 10 ayat pertama surah al-Kahfi.
Kedua kita diarahkan oleh Rasulullah supaya membaca doa ini sebelum salam setiap kali solat, “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari azab neraka jahanam, azab kubur, ujian hidup dan mati dan kedahsyatan ujian al-Masihi ad-dajal.”

Katanya, Dajjal akan menjelajah seluruh dunia dan akan berakhir di Baitulmaqadis dan dibunuh oleh Nabi Isa. Seperti mana yang disebut di dalam sahih Muslim, “Dajjal akan dibunuh oleh Nabi Isa, selepas Nabi Isa dan umat Islam bersolat di belakang al-Imam Mahdi, mereka berhadapan dengan Dajjal dan tenteranya. Bila Dajjal lihat Nabi Isa, Dajjal akan mula cair. Akan tetapi Nabi Isa dapat membunuhnya dengan menikamnya.”

(Dipetik dari Al-Islam keluaran November 2010)

Sunday, October 20, 2013

Hutang Menghilangkan Ketenangan dalam Kehidupan

Alkisah pada suatu masa dahulu, terdapat sebuah negara yang menetapkan setiap rakyatnya berpeluang untuk menjadi raja selama setahun. Maka selepas berlalu tempoh yang diberikan, bekas raja itu akan dihantar ke sebuah pulau terpencil dan dipenuhi dengan hutan serta tiada manusia lain yang menetap disitu. Sebaik sahaja raja pertama ditabalkan, raja itu menikmati segala kemudahan, kuasa dan kesenangan yang dilimpahkan kepadanya.
Sekadar gambar hiasan
Apabila telah cukup tempoh yang diberikan selama setahun, perdana menteri mengumumkan bahawa yang tersebut akan dihantar dan ditinggalkan di pulau yang tidak berpenghuni itu pada keesokan harinya. Raja itu menangis dan merayu, namun kesemua itu tidak diendahkan. Beliau dicampakkan ke pulau itu. Selang esoknya, rakyat kedua pula telah dilantik menjadi raja dan menikmati kehidupan dengan kesenangan selama setahun. Apabila telah tiba pada hari yang ditetapkan, raja kedua itu juga turut menangis kerana akan ditinggal di pulau tersebut.

Sehingga kini, tidaklah diketahui akan nasib kedua-dua raja yang terdahulu. Rakyat jelata menjangkakan kemungkinan bekas raja tersebut telah dimakan oleh binatang buas. Apabila tiba giliran rakyat ketiga menjadi raja, pada hari dia telah ditabalkan menjadi raja yang sah, beliau memanggil mamanda perdana menteri serta para menterinya bagi menghadiri satu mesyuarat tergempar.

Beliau mahukan perdana menteri dan semua menterinya termasuk menteri kerja raya, menteri telekomunikasi, menteri perdagangan dan perindustrian, serta menteri lain pergi melawat ke pulau yang beliau akan duduk selepas berlalu tempoh setahun. Beliau mahukan para menterinya mencadangkan satu pelan pembinaan negara baru, iaitu pulau canggih dan terkemuka di dunia. Beliau mahukan sebahagian emolumen beliau sebagai raja, disalurkan untuk pembinaan di pulau itu.

Sepanjang setahun itu, raja yang bijaksana itu hidup dengan penuh sederhana dan penjimatan, kerana beliau mahukan masa depannya terjamin.

Apabila usia pemerintahannya genap setahun, perdana menteri mengumumkan, beliau akan ditinggalkan dipulau itu. Pada masa itu, dia bukan sahaja menadah tangan tanda kesyukuran kepada Allah, beliau turut diikuti semua rakyat mahu berhijrah kepada pulau itu kerana taraf kemodenan dan kemajuan pulau itu lebih baik daripada tanah besar yang mereka duduki sekarang.

Kisah ini, mungkin boleh dijadikan perumpamaan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura. Singapura mempunyai keluasan lebih kecil daripada negeri Perlis, tetapi keluaran dalam negara kasar (KDNK) Singapura adalah berkali ganda berbanding Malaysia. Singapura dikategorikan sebagai negara maju, manakala Malaysia masih dalam kategori negara membangun.

Begitu juga apabila kita membelanjakan di luar kawalan dan perkara membazir, seperti dalam majlis perkahwinan. Selepas berkahwin, kita terpaksa menangis seperti kedua-dua raja pertama dan kedua dalam kisah tadi.

Aturkan majlis perkahwinan kita secara tunai. Tidak perlu berhutang, kerana kebahagiaan kita bersama pasangan bukanlah ditentukan sebesar mana kenduri majlis perkahwinan. Oleh itu, jangan bazirkan duit kerana melayari bahtera perkahwinan itu penuh dengan ujian dan dugaan.

Perlu diingatkan juga, sebahagian daripada kita tamat belajar bukan sahaja dengan segulung sijil, diploma, ataupun ijazah, bahkan juga dengan segulung hutang pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Hampir setiap individu sudah menanggung hutang sebaik sahaja tamat belajar di universiti, disebabkan oleh pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Apabila kita memulakan kehidupan berumah tangga, bebanan hutang perkahwinan membuatkan hidup kita dikelilingi dengan hutang.

Selain itu, anak-anak juga terpaksa menanggung bebanan hutang akibat gaya hidup ibu bapa mereka yang serba moden.

Sumber : Diolah daripada buku Rancang Wang Sejak Jatuh Cinta nukilan Shamsuddin Kadir dan Ain Muhammad

Tuesday, October 15, 2013

Sambutan Hari Raya Eidul Adha di Seluruh Dunia

Hari Raya Eidul Adha (ataupun Hari Raya Aidil Adha/Haji di Malaysia) merupakan perayaan yang disambut oleh golongan Muslim bagi menandakan berakhirnya dalam melaksanakan ibadah Haji di Mekah. Eidul Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Qurban, dan ianya berkait rapat dengan penceritaan Nabi Ibrahim (Abraham) dalam melaksanakan suruhan Allah SWT.

Menurut pandangan golongan Muslim, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail. Walaupun Nabi Ibrahim sangat menyayangi anaknya, kepercayaan dan keimanan beliau terhadap Allah SWT membuatkan beliau melaksanakan perintahNya itu. Kesungguhan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan perintah Allah SWT telah menyebabkan Allah SWT menyelamatkan nyawa Nabi Ismail dan menggantikannya dengan seekor kibas.

Eidul Adha adalah Hari Suci bagi Umat Islam dan disambut di seluruh Dunia dengan Ibadah, Qurban dan Jamuan

Di Amerika Syarikat, kebanyakan Muslim di sana menyambut Eidul Adha dengan menunaikan solat sunat di waktu pagi tanpa mengambil sarapan. Selepas menunaikan solat sunat, barulah mereka menikmati jamuan dengan keluarga dan sahabat handai secara bersama-sama.
Kanak-kanak perempuan Palestin sedang bermain buih ketika perayaan Hari Raya Eidul Adha di Bandar Nablus, Tebing Barat
Di Mesir, Eidul Adha disambut dengan menunaikan solat sunat di pagi hari serta jamuan. Ia juga dikenali sebagai Eid el-Kibr. Solat sunat di awal pagi di masjid, disusuli dengan khutbah ringkas telah menjadi tradisi Muslim disini pada hari perayaan, dan selepas menunaikan solat sunat, mereka akan bertemu dengan keluarga dan sahabat handai untuk menikmati jamuan. Pada hari ini, golongan yang berkemampuan dan badan berkebajikan akan memberikan daging korban dan makanan lain kepada fakir miskin dalam menghayati makna pengorbanan pada hari suci ini.
Umat Islam bertukar sapa di Gauhati, India
Eidul Adha disambut selama 4 hari di Pakistan. Pada hari tersebut, kedai-kedai ditutup, dan Muslim akan menghadiri solat sunat pagi dan mendengar khutbah. Selepas itu mereka akan mengadakan jamuan besar-besaran, dan mereka yang berkemampuan akan mengorbankan haiwan sembelihan, dan mereka akan berkongsi daging korban tersebut dengan keluarga, sahabat dan fakir miskin.
Solat sunat Eidul Adha di Lahore, Pakistan
Di Bangladesh, semasa Hari Raya Eidul Adha, mereka diwajibkan untuk mengorbankan binatang, dan umur serta kesihatan binatang sembelihan turut diambil kira. Binatang yang sakit adalah tidak sempurna untuk sembelihan. Sembelihan bermula ketika solat sunat pagi, dan ianya berterusan selama 3 hari semasa Hari Raya Eidul Adha di Bangladesh. Jamuan dan ibadah juga adalah lebih kurang sama dikebanyakan negara lain, kecuali sembelihan binatang dititik beratkan.
Seorang kanak-kanak sedang tidur semasa Muslim Kenya sedang menunaikan solat sunat di pinggir bandar Mombasa
Eidul Adha ialah hari yang istimewa buat umat Islam seluruh dunia. Hari ini adalah hari dimana mereka membuktikan keimanan dan keyakinan mereka kepada Allah SWT melalui haiwan sembelihan, jamuan dan ibadah. Hari raya ini disambut dengan meriah oleh umat Islam di seluruh dunia. Walaupun berbeza tradisi, namun keikhlasan melaksanakan perintah Allah SWT adalah tetap sama semasa Hari Raya Eidul Adha.
Biri-biri yang siap sedia untuk dikorbankan di Ankara, Turki
ps: Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Adha...=)

Thursday, October 10, 2013

Wahai Anakku.....





Wahai anakku,
Masihkah kamu ingat di zaman sekolah menengahmu di mana engkau dikhianati sahabatmu. Engkau pernah bertanya pada aku, mengapa sesama manusia sendiri layanannya begitu buruk sekali?

Aku tiada jawapan. Aku hanya mampu tersenyum. Melihatmu sedih menangis terperuk di dalam bilik kerana itu, aku terpaksa memikirkan jalan untuk mengembalikan senyuman yang dirompak pada wajahmu.

Wahai anakku,

Masihkah kamu ingat apa yang aku ceritakan pada masa itu?
Jika ada seseorang yang menipu kamu, sebenarnya Allah ingin menggunakan kehadirannya untuk mengajar kamu bahawa perkara di depan mata bukanlah segalanya. Kebenaran ada jauh di bawah permukaan. Dan untuk menilai seseorang, lihatlah pada hatinya.

Jika ada seseorang yang mencuri daripada kamu, sebenarnya Allah ingin mengajarmu bahawa tiada benda yang kekal di dunia ini. Hargailah apa yang ada di tangan. Kamu tidak tahu bila kamu akan kehilangannya. Jangan layan sahabat dan ahli keluargamu secara ala-kadar, kerana hari ini sahaja satu-satunya jaminan yang kamu ada untuk bersama mereka.

Bukan itu sahaja wahai anak kesayanganku,
Jika ada orang mencederakanmu, sebenarnya Allah ingin mengingatkan kamu bahawa manusia hanyalah satu makhluk yang lemah. Jagalah jasad kurniaan Allah dengan sebaik mungkin, kerana itulah satu-satunya harta yang kamu akan pegang sebelum roh kamu keluar darinya apabila tiba waktunya.

Jika ada orang yang mencemuhmu, sebenarnya Allah ingin menyedarkan kita tiada dua orang yang serupa di dunia ini. Apabila kamu berjumpa dengan orang lain, jangan sesekalimu menilai mereka daripada muka dan tindakan mereka. Nilailah mereka dari segi isi di hati mereka. Jangan juga sesekalimu memulaukan seseorang kerana kekurangannya, kerana ia akan lebih menonjolkan kekuranganmu.

Wahai anakku,
Jika orang itu melukai hatimu, Allah ingin memberitahumu bahawa perasaan sayang kadang-kala tidak berbalas. Tapi jangan kamu putus asa untuk terus menyayangi orang sesekelilingmu, kerana jika ada satu yang erti membalasnya, kamu akan mendapat beribu ganda nikmat keriangan berbanding hatimu yang terluka.

Jika ada orang marah padamu, Allah ingin mengajarmu bahawa setiap manusia akan membuat kesilapan. Jika kamu disalahkan, perkara terbaik yang boleh dibuat kamu ialah memaafkan pihak yang mengasarimu. Memaafkan seseorang mungkin adalah perkara paling sukar dan sakit di dalam pengalaman hidup kamu, tapi itu juga adalah perkara yang paling berani untuk dilakukan oleh kamu. Ingatlah, memaafkan orang lain bukan kerana mereka layak, tapi kamu, anak kesayanganku lebih layak menikmati ketenangan.

Jika ada orang yang mengkhianatimu, ingatlah bahawa Allah ingin mengajar kamu bahawa melawan hawa nafsu adalah perkara paling sukar buat seorang makhluk bergelar manusia. Kamu kena istiqamah dalam melawan nafsumu. Dengan itu, kamu akan diberi ganjaran seperti kepuasan dan pahala berpuasa yang jauh lebih daripada nikmat sementara yang dikecapi melalui nafsumu.

Oleh itu, wahai anakku, hargailah setiap pertemuan dan kehadiran orang baru di dalam hidupmu. Sebelum ajal, pastikan hidup kamu telah membawa lebih banyak senyuman kepada orang sekelilingmu daripada kesedihan.
Ingatlah pada Allah selalu. Percayalah segala ada hikmahnya.

Thursday, October 3, 2013

Kerja Kosong Di Underwater World Langkawi (Job Vacancies in Underwater World Langkawi)

Underwater World Langkawi (UWL) sekarang sedang mengiklankan beberapa jawatan kosong di syarikat terbabit. Kepada sesiapa yang berminat ataupun yang sedang mencari kerja, bolehlah menghantar resume-resume kalian ke:

Email : hani_uwl@edenzil.com
           salina_uwl@edenzil.com

Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung sama ada kepada Mrs. Hanizurah atau Mrs. Salina di talian 04-9556100. Sebarang info berkenaan UWL boleh klik sini.

Senarai kekosongan jawatan boleh rujuk pada gambat kat bawah:
Poster kerja kosong kat UWL
Ps: Pelajar Sains Marin/Akuatik mungkin boleh memohon jawatan sebagai Animal Keeper/Aquarist di syarikat terbabit. 

Tuesday, October 1, 2013

MAGIS "Yang tak masuk akal boleh berlaku di sini!"

Alhamdulillah hari ini usai sudah penulis membaca hasil nukilan abang Ramlee Awang Murshid ini setelah 3 hari membacanya. Seperti yang penulis jangkakan, karya ini sangat mengujakan penulis untuk membacanya hingga agak sukar penulis untuk meletakkannya kerana mahu mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya.

Magis membawa kepada pembaca 5 watak utama yang mana watak tersebut adalah Laksamana Sunan (Trilogi Bagaikan Puteri), Mikhail (Mikhail), Ryu-Watanabe (Hatiku di Harajuku), Ejim (Tombiruo) dan Carlos (Mandatori). Setiap watak telah dibawa ke dunia masa hadapan dimana dunia di ambang kiamat setelah melihat cahaya Halo matahari yang memancar terang dan menimbulkan sifat kagum dalam diri watak-watak tersebut. Keadaan mereka sebelum mereka di 'terbang'kan ke masa hadapan turut berbeza-beza.

Saifudin ketika itu sedang berperang dengan Panglima Siam yang mahu merampas kekuasaan negeri Kayangan Bumi. Mikhail pula sedang melarikan diri daripada buruan orang Turki yang menjadi sasarannya. Ryu-Watanabe pula sedang berada di ambang maut apabila dilempar dari bangunan tinggi oleh Kobun, Ketua Yakuza Jiro. Ejim pula hampir ditetak oleh kaum yang berwajah putih, manakala Carlos pula cedera parah setelah dirempuh oleh kereta Jamil.

Mereka juga turut ditemukan dalam keadaan yang berbeza-beza di masa hadapan. Sunan telah bertemu dengan Ejim di satu kawasan hutan manakala Mikhail dan Ryu-Watanabe pula sedang melarikan diri selepas terlepas dari banduan manusia yang berpakaian Firaun. Carlos pula menjadi tawanan perang di Buyuk Bulsinatur.

Dunia di masa hadapan telah ditakluki oleh Tuan Turak. Hanya dua kawasan sahaja yang belum mampu ditakluki iaitu Mekah dan Madinah. Tuan Turak yang menguasai dunia ketika itu hanyalah merupakan seekor 'kambing hitam', boneka kepada kuasa yang lebih besar, kepada seorang makhluk berumur panjang.

Dunia yang telah porak peranda ketika itu menyaksikan peperangan antara makhluk kafir dengan sisa manusia yang masih beriman, iaitu orang Memalik. Di akhir pertarungan, kesemua watak utama telah mati dan begitu juga kesemua orang Memalik. Yang tinggal hanyalah Sunan menentang Tuan Turak. Setelah mengalami susah payah, Sunan pun berhasil mengalahkan Tuan Turak.

Tatkala itu muncul kabut hitam yang didalamnya memancarkan sepasang mata berwarna merah. Apabila kelibat itu makin mendekat, maka terlihatlah di dahinya perkataan 'Kafir', yakni walaupun tidak disebut secara jelas di dalam novel, mungkin itulah dajal.

Walaubagaimanapun, peperangan tersebut ditamatkan apabila nyawa Sunan dicabut oleh angin lembut yang bertiup mengambil nyawa setiap orang yang beriman atas izin Allah SWT. Maka kembalilah setiap watak ke dunia asal mereka. Lantaran daripada itu, Sunan mengambil keputusan untuk menulis mushaf yang menceritakan tentang pengembaraan mereka untuk dijadikan pedoman pada manusia akan datang.

Penulis sangat senang hati apabila membaca pengakhiran cerita dalam novel tersebut. Risham dan Mahmud Fazdil telah bertemu di sebuah muzium ketika mereka sedang menatap mushaf Sunan tersebut dan mereka berpelukan gembira.

Moral of the story, manusia hendaklah sentiasa ingat kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali mensyirikkanNya. Banyak bangsa telah musnah ekoran keingkaran mereka terhadap Allah SWT. Di dalam novel itu juga turut memaparkan bahawa kiamat semakin hampir dan manusia telah semakin melupakan Tuhan mereka dan dilalaikan dengan dunia yang sudah tua.

Akhir kata, selamat membaca!

ps: Tak sabar menunggu kemunculan novel seterusnya, Sunan (Epilog).

Cintakan Luruh Di OXFORD


Alhamdulillah setelah berminggu-minggu baca akhirnya habis juga penulis membaca novel hasil nukilan Noor Suraya dan Imaen ini. Buku ini penulis beli kerana stok untuk membaca buku di rumah habis. Kebetulan semasa membelek-belek buku di rak buku Popular, penulis tertarik dengan muka depan buku novel tersebut, tambahan pula ceritanya berlatar belakangkan bumi Oxford. Tebal buku itu pun lebih kurang tebal macam buku kamus Oxford dah penulis tengok.

Cerita berkisar mengenai dua orang pelajar yang belajar di LMH (Lady Margaret Hall) iaitu Zuha Zaid Salim yang mengambil jurusan kesusasteraan Inggeris dan Falah Nordin (tak ingat ambil jurusan apa). Babak cerita ini terbahagi kepada dua, bahagian pertama mengambil tempat di Oxford dimana Falah dan Zuha telah jatuh cinta pada pandangan pertama tapi masing-masing malu untuk menyatakannya. Falah takut meluahkan pada Zuha kerana takut bertepuk sebelah tangan dan sangsi antara hubungan Zuha dengan 'pakciknya', Wassim. Zuha pula tidak menyatakan hasrat hatinya kerana tidak mahu melanggar adab-adab sebagai seorang gadis Timur dan sangsi dengan keakraban antara Falah dan Damina.

Dalam masa cinta mereka mula berputik, Zuha terpaksa meninggalkan Oxford kerana mahu bersama keluarganya. Zuha meninggal Falah dalam keadaan Falah salah faham setelah melihat Zuha dan Wassim masuk ke dalam sebuah hotel.
Sinopsis novel
Babak seterusnya mengambil tempat di Bukit Dussek 5 tahun kemudian. Falah telah mendapat pekerjaan sebagai seorang pengurus estet manakala Zuha pula sebagai sebuah guru pelatih di sekolah dalam estet tersebut. Walaupun jarak antara mereka sangat dekat tetapi ironinya mereka tidak pernah berjumpa walaupun beberapa kali Falah terserempak dengan Zuha, sehinggalah pada suatu hari ketika mesyuarat PIBG diadakan di sekolah tersebut. Ketika itulah mereka bertemu kembali tetapi masih memendam perasaan hati masing-masing.

Namun segalanya berubah apabila Zuha tersalah faham apabila menyangka bahawa Falah telah berkahwin dengan Damina dan membawa rajuknya dengan memaksa Wassim berkahwin dengannya. Kemudian Zuha menyesali tindakannya apabila mengetahui bahawa Falah masih single dan masih mencari dimana Zuha menghilangkan diri.

Setelah bermacam-macam masalah yang Zuha hadapi dan berbagai cara Falah gunakan untuk memujuk Zuha, akhirnya mereka berkahwin juga pada hujung cerita ini dan bahagia. Happy ending. Apa jadi pada Wassim? Haa.. Bacalah novel ini kalau nak tahu.

Antara pengajaran yang penulis dapat daripada novel ini adalah kalau dah suka, beritahulah isi hati kepada si dia cepat-cepat sebelum dia menjadi milik orang lain. Nanti menyesal tak sudah. 

Kedua adalah pentingnya untuk menjaga adab sebagai seorang Muslim walaupun kita berada di tempat orang dan jauh daripada keluarga.

Novel ini bukan sahaja memuatkan kisah cinta yang pada penulis sangat sweet tetapi turut menerapkan unsur-unsur ketuhanan dan isu-isu politik semasa tanah air.

Akhir kata selamat membaca!