Tuesday, October 1, 2013

MAGIS "Yang tak masuk akal boleh berlaku di sini!"

Alhamdulillah hari ini usai sudah penulis membaca hasil nukilan abang Ramlee Awang Murshid ini setelah 3 hari membacanya. Seperti yang penulis jangkakan, karya ini sangat mengujakan penulis untuk membacanya hingga agak sukar penulis untuk meletakkannya kerana mahu mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya.

Magis membawa kepada pembaca 5 watak utama yang mana watak tersebut adalah Laksamana Sunan (Trilogi Bagaikan Puteri), Mikhail (Mikhail), Ryu-Watanabe (Hatiku di Harajuku), Ejim (Tombiruo) dan Carlos (Mandatori). Setiap watak telah dibawa ke dunia masa hadapan dimana dunia di ambang kiamat setelah melihat cahaya Halo matahari yang memancar terang dan menimbulkan sifat kagum dalam diri watak-watak tersebut. Keadaan mereka sebelum mereka di 'terbang'kan ke masa hadapan turut berbeza-beza.

Saifudin ketika itu sedang berperang dengan Panglima Siam yang mahu merampas kekuasaan negeri Kayangan Bumi. Mikhail pula sedang melarikan diri daripada buruan orang Turki yang menjadi sasarannya. Ryu-Watanabe pula sedang berada di ambang maut apabila dilempar dari bangunan tinggi oleh Kobun, Ketua Yakuza Jiro. Ejim pula hampir ditetak oleh kaum yang berwajah putih, manakala Carlos pula cedera parah setelah dirempuh oleh kereta Jamil.

Mereka juga turut ditemukan dalam keadaan yang berbeza-beza di masa hadapan. Sunan telah bertemu dengan Ejim di satu kawasan hutan manakala Mikhail dan Ryu-Watanabe pula sedang melarikan diri selepas terlepas dari banduan manusia yang berpakaian Firaun. Carlos pula menjadi tawanan perang di Buyuk Bulsinatur.

Dunia di masa hadapan telah ditakluki oleh Tuan Turak. Hanya dua kawasan sahaja yang belum mampu ditakluki iaitu Mekah dan Madinah. Tuan Turak yang menguasai dunia ketika itu hanyalah merupakan seekor 'kambing hitam', boneka kepada kuasa yang lebih besar, kepada seorang makhluk berumur panjang.

Dunia yang telah porak peranda ketika itu menyaksikan peperangan antara makhluk kafir dengan sisa manusia yang masih beriman, iaitu orang Memalik. Di akhir pertarungan, kesemua watak utama telah mati dan begitu juga kesemua orang Memalik. Yang tinggal hanyalah Sunan menentang Tuan Turak. Setelah mengalami susah payah, Sunan pun berhasil mengalahkan Tuan Turak.

Tatkala itu muncul kabut hitam yang didalamnya memancarkan sepasang mata berwarna merah. Apabila kelibat itu makin mendekat, maka terlihatlah di dahinya perkataan 'Kafir', yakni walaupun tidak disebut secara jelas di dalam novel, mungkin itulah dajal.

Walaubagaimanapun, peperangan tersebut ditamatkan apabila nyawa Sunan dicabut oleh angin lembut yang bertiup mengambil nyawa setiap orang yang beriman atas izin Allah SWT. Maka kembalilah setiap watak ke dunia asal mereka. Lantaran daripada itu, Sunan mengambil keputusan untuk menulis mushaf yang menceritakan tentang pengembaraan mereka untuk dijadikan pedoman pada manusia akan datang.

Penulis sangat senang hati apabila membaca pengakhiran cerita dalam novel tersebut. Risham dan Mahmud Fazdil telah bertemu di sebuah muzium ketika mereka sedang menatap mushaf Sunan tersebut dan mereka berpelukan gembira.

Moral of the story, manusia hendaklah sentiasa ingat kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali mensyirikkanNya. Banyak bangsa telah musnah ekoran keingkaran mereka terhadap Allah SWT. Di dalam novel itu juga turut memaparkan bahawa kiamat semakin hampir dan manusia telah semakin melupakan Tuhan mereka dan dilalaikan dengan dunia yang sudah tua.

Akhir kata, selamat membaca!

ps: Tak sabar menunggu kemunculan novel seterusnya, Sunan (Epilog).

No comments:

Post a Comment