Thursday, October 10, 2013

Wahai Anakku.....





Wahai anakku,
Masihkah kamu ingat di zaman sekolah menengahmu di mana engkau dikhianati sahabatmu. Engkau pernah bertanya pada aku, mengapa sesama manusia sendiri layanannya begitu buruk sekali?

Aku tiada jawapan. Aku hanya mampu tersenyum. Melihatmu sedih menangis terperuk di dalam bilik kerana itu, aku terpaksa memikirkan jalan untuk mengembalikan senyuman yang dirompak pada wajahmu.

Wahai anakku,

Masihkah kamu ingat apa yang aku ceritakan pada masa itu?
Jika ada seseorang yang menipu kamu, sebenarnya Allah ingin menggunakan kehadirannya untuk mengajar kamu bahawa perkara di depan mata bukanlah segalanya. Kebenaran ada jauh di bawah permukaan. Dan untuk menilai seseorang, lihatlah pada hatinya.

Jika ada seseorang yang mencuri daripada kamu, sebenarnya Allah ingin mengajarmu bahawa tiada benda yang kekal di dunia ini. Hargailah apa yang ada di tangan. Kamu tidak tahu bila kamu akan kehilangannya. Jangan layan sahabat dan ahli keluargamu secara ala-kadar, kerana hari ini sahaja satu-satunya jaminan yang kamu ada untuk bersama mereka.

Bukan itu sahaja wahai anak kesayanganku,
Jika ada orang mencederakanmu, sebenarnya Allah ingin mengingatkan kamu bahawa manusia hanyalah satu makhluk yang lemah. Jagalah jasad kurniaan Allah dengan sebaik mungkin, kerana itulah satu-satunya harta yang kamu akan pegang sebelum roh kamu keluar darinya apabila tiba waktunya.

Jika ada orang yang mencemuhmu, sebenarnya Allah ingin menyedarkan kita tiada dua orang yang serupa di dunia ini. Apabila kamu berjumpa dengan orang lain, jangan sesekalimu menilai mereka daripada muka dan tindakan mereka. Nilailah mereka dari segi isi di hati mereka. Jangan juga sesekalimu memulaukan seseorang kerana kekurangannya, kerana ia akan lebih menonjolkan kekuranganmu.

Wahai anakku,
Jika orang itu melukai hatimu, Allah ingin memberitahumu bahawa perasaan sayang kadang-kala tidak berbalas. Tapi jangan kamu putus asa untuk terus menyayangi orang sesekelilingmu, kerana jika ada satu yang erti membalasnya, kamu akan mendapat beribu ganda nikmat keriangan berbanding hatimu yang terluka.

Jika ada orang marah padamu, Allah ingin mengajarmu bahawa setiap manusia akan membuat kesilapan. Jika kamu disalahkan, perkara terbaik yang boleh dibuat kamu ialah memaafkan pihak yang mengasarimu. Memaafkan seseorang mungkin adalah perkara paling sukar dan sakit di dalam pengalaman hidup kamu, tapi itu juga adalah perkara yang paling berani untuk dilakukan oleh kamu. Ingatlah, memaafkan orang lain bukan kerana mereka layak, tapi kamu, anak kesayanganku lebih layak menikmati ketenangan.

Jika ada orang yang mengkhianatimu, ingatlah bahawa Allah ingin mengajar kamu bahawa melawan hawa nafsu adalah perkara paling sukar buat seorang makhluk bergelar manusia. Kamu kena istiqamah dalam melawan nafsumu. Dengan itu, kamu akan diberi ganjaran seperti kepuasan dan pahala berpuasa yang jauh lebih daripada nikmat sementara yang dikecapi melalui nafsumu.

Oleh itu, wahai anakku, hargailah setiap pertemuan dan kehadiran orang baru di dalam hidupmu. Sebelum ajal, pastikan hidup kamu telah membawa lebih banyak senyuman kepada orang sekelilingmu daripada kesedihan.
Ingatlah pada Allah selalu. Percayalah segala ada hikmahnya.

No comments:

Post a Comment