Tuesday, September 24, 2013

PLAGUE DOCTOR (DOKTOR WABAK)

Mengenakan pakaian yang seperti seorang pemotong daging - dengan jubah beserta topeng - selalu dikaitkan dengan cerita-cerita seram. Pakaian yang digunakan oleh mereka yang digelar Plague Doctor tidak kurang juga seramnya apabila dilihat. Seseorang yang berpakaian sebagai Plague Doctor selalunya dikaitkan dengan simbol kematian.
Maklumat mengenai penularan pertama penyakit wabak berjangkit ini dapat dilihat pada abad ke - 6. Penularan wabak ini bermula di Empayar Rom Timur dibawah pemerintahan Maharaja Justinian. Maharaja tersebut mati akibat dijangkiti wabak tersebut, dan wabak itu kemudiaannya dikenali dengan nama Wabak Justinian (Plague of Justinian).
Lakaran imej Plague Doctor
Wabak penyakit terbesar yang dikenali dengan nama "Black Death" (1348 - 1351), yang berasal daripada Timur melanda Eropah. Wabak tersebut tersebar dengan pantas di seluruh Eropah dengan bantuan kapal - kapal zaman pertengahan yang menjadi sarang - sarang tikus. Proses penyebaran tersebut berlaku apabila kutu menjangkiti tikus dan tikus menjangkiti kutu yang lain sehinggalah kesemua tikus itu mati. Kutu yang kelaparan akan hinggap kepada manusia dan menjangkiti manusia tersebut. Hasilnya, wabak itu tersebar di setiap negara die Eropah Barat, termasuklah Greenland. Wabak berjangkit tersebut telah membunuh seramai 25 hingga 45 juta manusia.
Cara berpakaian Plague Doctor yang menutupi hampir setiap ruang
Tiada siapa yang dijamin selamat daripada wabak tersebut. Wabak tersebut turut mebunuh Raja Perancis Louis IX, anak perempuannya, Jeanne Navarre, dan beberapa tokoh yang lain.
Michel de Nostredame - dikenali sebagai Nostradamus - adalah seseorang sangat terkenal sebagai seorang Plague Doctor. Beliau mencadangkan pesakitnya untuk minum hanya air yang telah dimasak, tidur di atas katil yang bersih, dan segera meninggalkan bandar yang telah dilanda wabak. Wabak itu secara amnya berjangkit melalui sentuhan fizikal, sama ada melalui pakaian ataupun tempat tidur. Berdasarkan pandangan tersebut, maka terhasillah pakaian untuk Plague Doctor tersebut. Para doktor dikehendaki untuk mengenakan pakaian tersebut apabila datang untuk melawat pesakit mereka.
Topeng Plague Doctor yang menyerupai paruh burung dan topi kulit, adalah untuk membuatkan doktor itu kelihatan seperti Kuasa Suci Tuhan Mesir (Egyptian Divinity) untuk menghalau wabak tersebut. Paruh tersebut sebenarnya adalah alat perlindungan pernafasan untuk menghindarkan doktor daripada menghidu bau busuk wabak itu. Paruh itu dipenuhi dengan ubatan herba untuk memudahkan proses pernafasan. Topeng tersebut mempunyai dua lubang udara dan dilengkapi dengan cermin gelas bagi melindungi mata. Para doktor juga turut mengenakan baju hujan panjang yang telah dililin beserta pakai kulit atau fabrik tebal untuk mengelakkan daripada terkena gigitan kutu dan sentuhan fizikal dengan pesakit.
Antara dekorasi topeng paruh burung
Berikut adalah ciri-ciri dan fungsi pakaian yang dikenali sebagai Plague Suit/Hazmat suit:
  • Topi hitam berkulit lebar yang dipakai menutupi kepala. Pada zaman itu, topi hitam berkulit lebar menggambarkan status seseorang sebagai seorang doktor. Topi tersebut juga berfungsi sebagai pelindung daripada jangkitan wabak penyakit.
  • Topeng gas primitif berbentuk paruh burung. Kepercayaan umum masyarakat pada zaman itu adalah wabak tersebut disebarkan melalui burung. Menjadi kepercayaan masyarakat setempat bahawa jika berpakaian dengan topeng burung, si pemakai mampu untuk menarik wabak keluar daripada tubuh pesakit dan berpindah kepada baju yang dipakai oleh doktor. Topeng tersebut juga dilengkapi dengan kaca mata merah, dipercayaai mampu membuat si pemakai kebal daripada sebarang sifat jahat. Paruh pada topeng tersebut dipenuhi dengan bau aroma herba dan rempah untuk melawan bau busuk daripada wabak.
  • Baju hujan panjang berwarna hitam. Baju hujan tersebut dipakai dengan menutupi keseluruhan muka dan leher untuk menghalang kulit daripada terdedah. Baju tersebut melepasi paras kaki, dan di saluti dengan lilin. Lilin digunakan kerana dipercayai mampu menghindar si pemakai daripada wabak.
  • Tongkat. Tongkat digunakan dalam memberi arahan kepada keluarga mangsa untuk mengalihkan pesakit, individu yang berdekatan, dan untuk memeriksa pesakit secara terus.


Monday, September 23, 2013

Rabbi (Pendeta Yahudi)


APAKAH ITU RABBI

Apabila kita terfikir mengenai Rabbi, mesti kita akan mengaitkan tugasnya hanyalah menjalankan urusan perkahwinan dan pengkebumian, atau menyampaikan khutbah pada hari perayaan. Hakikatnya ya, mereka menjalankan kesemua tugas tersebut, dan banyak lagi. Kebanyakan Rabbi adalah mereka yang memiliki kelulusan dan pengetahuan mendalam dalam Taurat dan mereka bertanggungjawab dalam memimpin komuniti Yahudi.

Rabbi secara amnya bermaksud "pengajar" dalam bahasa Hebrew. Dalam komuniti Yahudi, Rabbi bukan sahaja dipandang sebagai seorang yang alim malah juga sebagai seorang model ikutan dan seorang pendidik. Golongan Rabbi memimpin dalam upacara keagamaan, seperti upacara hari Shabbat dan upacara hari Suci  pada Rosh HaShanah dan Yom Kippur.

Yom Kippur
Hari Shabbat

Para Rabbi juga bertanggungjawab dalam melaksanakan upacara tahunan seperti Bar Mitzvahs (lelaki) dan Bat Mitzvahs (perempuan), menamakan bayi yang baru lahir, perkahwinan dan pengkebumian.

Upacara Bat Mitzvahs
BAGAIMANA SEORANG YAHUDI ITU MENJADI RABBI


Gelaran Rabbi hanya diberikan kepada mereka yang telah menerima 'Rabbinical Ordination', yang mana mereka perlu menghadapi peperiksaan yang ketat dalam Taurat dan Talmud.

Walaupun secara tradisi gelaran Rabbi dipegang oleh golongan lelaki, pada tahun 1972 wanita telah diberi kelonggaran untuk menjadi Rabbi (kecuali pada pengikut Orthodox). Untuk menjadi Rabbi, seseorang itu perlu dilatih selama 5 tahun di Hebrew Union College (Reform) atau di Jewish Theological Seminary (Conservative).

Rabbi dari golongan wanita
Rabbi dari golongan Orthodox akan belajar di seminar Orthodox yang dipanggil yeshivot. Apabila seseorang itu telah tamat pengajiannya, mereka akan menerima gelaran Rabbi, pada upacara yang dipanggil s'michah. Perkataan s'michah pula merujuk kepada maksud penyerahan jubah Rabbi kepada mereka yang telah menerima gelaran tersebut.

Golongan Rabbi Orthodox
Para Rabbi biasanya akan dipanggil "Rabbi [nama]" tetapi mereka juga boleh di
panggil sebagai "Rabbi", "Rebbe" atau "Reb". Perkataan Hebrew untuk Rabbi ialah "Rav", salah satu perkataan lain yang digunakan untuk merujuk kepada Rabbi.

Menerima Ordinan bukanlah bermakna tamatnya tugas Rabbi dalam mempelajari Taurat. Dalam erti kata yang lain, ia adalah satu permulaan. Komuniti Rabbi akan terus mendalami ilmu dan mencari kebenaran untuk sepanjang hidupnya, dengan harapan untuk mendapat lebih pencerahan dan pengetahuan mengenai Tuhan dan Taurat.

Monday, April 25, 2011

HUBUNGAN ANTARA AGAMA DI MALAYSIA



Di Malaysia, berkongsi sambutan perayaan merupakan fenomena biasa dan merupakan salah satu medium untuk mendedahkan pemahaman antara agama dan budaya masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Selaras dengan gagasan 1 Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri najib Tun Razak yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum di Malaysia.

Dialog Antara Agama
Mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengulas mengenai konsep berdialog antara agama yang dicadang untuk dilaksanakan di Malaysia. Ujar beliau masyarakat Malaysia masih lagi berfikiran konservatif dan tidak selesa dengan idea dialog antara agama ini dan masa yang lama adalah perlu untuk menerapkan konsep ini kepada rakyat berbilang kaum.
Mantan Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mencadangkan kepada seluruh agama di dunia untuk berdialog secara terbuka terutamanya bagi menghapuskan salah tanggap terhadap kepercayaan masing-masing khususnya Islam. Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya wajar menyahut seruan Perdana Menteri kita sendiri. Umat Islam wajar mengusahakan momentum ke arah itu. Usaha mendidik masyarakat untuk berdialog adalah perlu. Dialog boleh merangkumi aspek-aspek keagamaan mahupun isu-isu sosial.

Sistem Pendidikan
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh di implimentasikan, antaranya melalui sistem pendidikan negara dan peranan media massa dalam menyebarkan maklumat yang sahih dalam usaha untuk menghilangkan rasa tidak selesa masyarakat terhadap kepercayaan agama lain. Punca utama timbul salah faham antara masyarakat adalah disebabkan kurangnya pengetahuan terhadap sistem kepercayaan agama lain. Perkara ini boleh menyumbang kepada sikap prejudis terhadap sesuatu agama dalam kehidupan.
Institusi pengajian tinggi wajar melaksanakan satu subjek yang memperkenalkan kepada pelajar setiap agama-agama yang wujud di dunia. Dengan cara ini, minda pelajar-pelajar dapat dibuka terhadap sesebuah agama untuk memastikan dialog antara agama tercapai di masa hadapan.
Bagi menangani perkara ini, kerajaan telah mengambil langkah dengan mewajibkan semua pelajar untuk mengambil subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) untuk membekalkan pelajar dengan ilmu mengenai sesebuah tamadun dan agama. Walaubagaimanapun, dialog antara agama wajar ditambah dalam mata pelajaran Titas bagi melahirkan pelajar dengan keyakinan yang cukup untuk berdialog dan mengemukakan hujah bernas untuk membetulkan tafsir dan kekeliruan yang menjadi dilema penganut agama lain terhadap agama Islam.

Islam Hadhari dan Dasar Islamisasi
Islam Hadhari yang dicanangkan oleh Tun Abdullah juga mempunyai kaitan yang kuat dalam hubungan antara agama dan juga pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia. Pelaksanaan dasar Islamisasi oleh kerajaan pada tahun 1982 telah membuatkan penganut agama lain risau berkenaan hak kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Mereka telah melaksanakan pelbagai agenda sehingga tertubuhnya Majlis Perundingan Agama-Agama Malaysia sebagai platform untuk menyuarakan tuntutan kepada kerajaan. Hal ini berikutan kegagalan pihak kerajaan untuk menerangkan keseluruhan dasar tersebut kepada masyarakat bukan Islam.
Dengan pelaksanaan Islam Hadhari, proses dialog antara kerajaaan dengan seluruh masyarakat terutama bukan Islam harus berjalan dengan lancar. Segala maklumat mengenai Islam Hadhari akan difahami dengan jelas dan segala salah faham dapat dielakkan. Disebabkan pelaksanaan Islam Hadhari yang dijalankan oleh kerajaan masih belum jelas, para penyelidik dan ahli akademik harus menjalankan penyelidikan dan mengadakan pendekatan menyeluruh.
Antara perkara-perkara penting yaang wajar dijadikan dasar kajian adalah seperti aspek budaya, kepercayaan dan agama. Semua faktor ini mampu memupuk sikap saling menghormati di antara masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya di negara ini. Dialog antara agama merupakan medium baru dalam berdakwah kepada kaum lain di samping medan untuk mencapai perpaduan dan kedamaian dalam negara yang berbilang agama, bangsa dan budaya seperti di Malaysia. 

Saturday, October 9, 2010

Pantang Larang Dan Kepercayaan Dalam Amalan Pengkebumian Yahudi



Berikut ialah pantang-larang dan kepercayaan yang diamalkan oleh para penganut agama Judais:

* Tidak dibenarkan membawa bunga ke tanah perkuburan kerana menganggap ianya membazir.
* Tidak dibolehkan mengawet mayat.
* Mesti menanam mayat pada hari yang sama atau secepat yang boleh.
* Keranda hendaklah dibuat dari kayu bukannya kepingan logam atau plastik.
* Di dalam keranda tidak dibenarkan meletakkan sebarang barang-barang kesayangan si mati. Menurut kepercayaan rabbi Yahudi, manusia lahir ke dunia tanpa apa-apa dan mereka perlu kembali ke tuhan tanpa apa-apa.
* Berhenti 7 kali semasa keranda dibawa ke kawasan perkuburan. Setiap kali berhenti, ayat dari Kitab Taurat perlu dibaca. Biasanya mereka membaca Surah Psalm (ayat ke-91).
* Setiap ahli-ahli berkabung (Onen) diharuskan memakai tanda khusus pada baju sebagai tanda berkabung atau kesedihan kematian seseorang. Tanda itu biasanya berupa pin baju.
* Setiap Onen juga diharuskan meratapi kematian si mati sebagai tanda kasih sayang akan kehilangan si mati.


(Gambar) Rasulullah SAW melarang meratapi kematian secara berlebih-lebihan kerana ia menyerupai amalan agama Yahudi.

Kesimpulan

Jika dilihat pada tatacara amalan pengkebumian mayat, terdapat beberapa bahagian yang kelihatan hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh umat Islam. Ini bukanlah bermakna kita umat Islam telah meniru amalan Yahudi, ini bermaksud kaum Bani Israel lebih dahulu melakukan hal-hal demikian sebagai mengikut ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakob.

Hal ini telah dinyatakan Allah di dalam surah an-Nal (ayat 123) yang bermaksud;

“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.”

Namun begitu, amalan-amalan di atas kebanyakannya hanya diamalkan oleh penganut-penganut Judais di Israel khususnya golongan orthodoks. Manakala sebahagian besar orang Yahudi berfahaman sekular di Israel lebih gemar menyerahkan urusan berikut kepada Syarikat Persendirian yang menguruskan mayat. Ada juga yang lebih suka membakar mayat dan menanam abu sahaja.

Atas perubahan ini maka berlakulah percanggahan amalan dalam masyarakat Yahudi sehingga golongan Orthodoks terpaksa pula membuat fatwa sendiri bagi menjaga masyarakat mereka.

Wednesday, August 25, 2010

Mengkritik Agama Lain



Kita selalu berkata terhadap golongan yang menyalah tafsirkan Islam supaya mempelajari Islam dari mereka yang ahli iaitu ulama muslim sendiri, dan bukan dari golongan orientalis.
Ironiknya, apabila membicarakan tentang perbandingan agama, kita sewenangnya menafsirkan agama lain (terutama kitab rujukan mereka) dengan kepala kita sendiri tanpa merujuk para ulama, sami atau pope agama tersebut. Adilkah begini?



Sebagai seorang salesman, bagaimanakah cara kita mempromosi produk kita yang mahu dijual? Adakah dengan mengutuk-ngutuk dan menceritakan 1001 keburukan produk lain supaya pelanggan tertarik dengan produk kita? Bukankah ini cara murahan? Sekiranya kita bersungguh supaya pelanggan memilih produk kita, sepatutnya kita menceritakan kelebihan produk sendiri, bukannya memburuk-burukkan produk lain.



Saya tak kata agama lain tu betul. Tapi pada pandangan saya kita seringkali membuat tafsiran yang salah terhadap agama lain. Kita mengkritik doktrin trinity sukar difahami dan tidak masuk akal. Tapi dalam masa yang sama, ada juga diantara kita yang tidak memahami falsafah ketuhanan dalam Islam.



Dalam agama Hindu sebagai contoh, kita mengatakan penganut Hindu ini menyembah patung. Walhal sebenarnya jika kita rajin bertanya, mereka bukan menyembah patung tapi menyembah tuhan dengan perantaraan patung atau yang bersemadi di dalam patung tersebut. Atau dengan kata lainnya pantheism.



Berapa ramai di antara kita mampu membaca Bible dalam bahasa asal iaitu Hebrew, atau mampu membaca Upanishad, Ramayana, Mahabrata, Baghavad Ghita dalam bahasa Sanskrit? Seperti mana kita katakan Al-Quran tidak boleh dibaca hanya terjemahan, sepatutnya begitu jugalah kita katakan Bible tidak boleh dibaca dengan terjemahan. Bible versi terjemahan mengandungi banyak kesilapan ketika proses menterjemah dari bahasa Hebrew.
Seperti mana orang bukan Islam (christian, buddhist dll) mungkin membuat salah tafsiran pada agama Islam, kdg kala sedar atau tidak, kita umat Islam juga mungkin terlalai dan turut membuat penafsiran yg salah terhadap agama mereka.



Sudah tentu, saya meyakini Islam adalah agama yg benar secara mutlak, tetapi apabila bercakap tentang agama lain, meyakini 'Islam itu benar' sama sekali tidak memberi lesen untuk kita pandai2 memutarbelitkan fakta dan prinsip2 dlm agama lain tanpa mengkaji terlebih dahulu.

Bukankah Islam itu adil? Maka berikanlah gambaran yg adil bukan hanya pada Islam juga, tetapi pd agama lain juga.



Bagi saya tiada kesalahan jika kita mengkaji tentang prinsip2 dalam agama lain yang sebenar2nya, kerana bagi saya, itu adalah cara yg paling adil untuk kita membuat perbandingan antara Islam dan agama lain tanpa ada 'bias'. Tiada beza pun kalau kita membandingkan Islam dan agama lain dengan perbandingan yg sebenar2nya, kerana yg benar tetap benar, yg salah tetap salah. Jadi akhirnya, kebenaran Islam juga yg akan ditemui. Maka apa salahnya jika kita berlaku adil pd agama lain, dan tidak hanya sesuka hati memutarbelitkan agama mereka, menafsirkan agama mereka dgn cara yg salah atau memburuk2kan agama mereka dgn mitos yg langsung tiada sangkut paut dgn ajaran agama mereka yg sebenar?

Merujuk kpd persoalan utama: Adilkah membicarakan tentang agama lain dengan bersumberkan sumber sekunder seperti terjemahan kitab, tulisan-tulisan muslim?



Bagi saya tiada salahnya merujuk kpd sumber sekunder hasil kerja tulisan muslim, kerana bukan semua muslim itu bias dalam kajian dan pandangannya. Apa2 sumber pun yg kita baca, semuanya harus dikaji dan dibuktikan kesahihannya terlebih dahulu, tak kira sama ada kajian tentang agama lain oleh seorang muslim, atau kajian tentang agama Islam itu sendiri oleh seorang muslim juga. Kedua2nya harus diteliti dan tidak harus main telan kerana takut ada fakta2 yg terpesong. Tetapi dlm masa yg sama, saya juga rasa tidak salah untuk kita membuat kajian lebih lanjut berkenaaan agama tersebut, seperti membaca bible dn sebagainya, DENGAN SYARAT aqidah haruslah mantap dan tidak mudah terkeliru.



Memandangkan Islam tidak pernah memberi lesen kepada orang Islam untuk menjatuhkan maruah orang lain, memburuk2kan orang lain mahupun memfitnah orang lain, maka bagi saya, seorang muslim itu tidak wajar berdakwah dgn cara memfitnah agama lain. Tidak salah jika kita point outkan kesalahan dalam agama lain jika mmg itu adalah satu fakta, tetapi jika apa yg kita cakap itu adalah sekadar nak memburukkan agama lain dan bukanlah suatu fakta yg benar, maka kita telahpun melakukan ketidakadilan pd makhluk Allah yg lain.

Bila sifat seorang yang menganut agama itu yang punya cela, agama itu pula yang dipersalahkan. Pernahkah Rasulullah mencela dan merendah2 kan agama lain? Tetapi Rasulullah membawa pendekatan, menyebarkan keindahan Islam... Rasulullah siap promote lagi, siapa yang masuk Islam waktu itu, dijamin syurga...
Saidina Umar, siap pergi melawat gereja lagi. Takde nya dia hambur paderi tuh dengan mengatakan...

'Apa lah ko nihhh... Sembah Jesus plak.. Tak logik betol…’

Malah, bila Umar r.a nak solat, diberi pernghormatan oleh paderi utk solat di dalam gereja namun ditolak oleh Umar sendiri. Katanya, tidak mahu menimbul fitnah satu hari nanti, Umar cuba menukar gereja tersebut kpd masjid... Ini cara Islam...
Itu yang seharusnya dilakukan. Masalahnya, siapa yang memburuk2 kan produk org lain utk menarik pelanggan membeli produk kita itu?



Brother Yusuf Estes mengingatkan kita tak lama dahulu, apabila berinteraksi dengan penganut agama lain, atau juga berbicara soal agama mereka, usah cepat terlatah dan mengutuk agama/kitab/sembahan mereka.

Pernah seorang scholar/professor of Bible and Christian dikutuk hebat ttg agamanya, akhirnya beliau meninggalkan agama Kristian dan berdakwah ke arah atheism. Apa yg kita mahu sebenarnya? Dakwah kita bagaimana? Menghilangkan rasa bertuhan?

Tak perlu merendahkan yg lain, Islam itu sedia tinggi. Halusi nilai Islam dalam agama yg pelbagai. Ada Islam di sebalik setiap ajaran, insyaAllah. cuma terkadang terhijab, tersalah arah & panduan. hanya perlu dilahirkan semula nilai Islam itu. Islam itu fitrah bagi manusia. Peace submission sacrifice.



Wallahu a'lam.

Wednesday, August 11, 2010

Islam dan Kristian



Seorang ayah berjalan mundar-mandir di lorong hospital, gelisah dengan keadaan isterinya yang akan melahirkan anak sulung mereka. Setelah beerapa jam ia menunggu, tak jua terdengar tangisan bayi. Tiba-tiba, seorang doktor berjalan tergopoh-gopoh keluar dari ruang persalinan menuju ke arahnya.

"Bagaimana keadaannya, doktor?" tanyanya penuh harap.

"Maaf encik, kami sudah berusaha, keadaanya amat kritikal. Si ibu sudah tidak sedarkan diri." Jawab doktor itu.

"Jadi,bagaimana doktor..?"

"Kami tak mungkin dan berupaya untuk menyelamatkan kedua-duanya, tapi masih ada harapan. Kami hanya punya satu pilihan, menyelamatkan si ibu, atau menyelamatkan si bayi."

Lelaki tersebut kebingungan, dan tidak dapat berkata apa-apa...

"Maaf encik, setiap saat amat berharga, tolong cepat membuat pilihan!"desak doktor itu.

Akhirnya, dengan berat hati,lelaki itupun berkata dengan nada sayu,"Doktor, saya sangat bingung... Saya serahkan sepenuhnya kepada doktor. Tolong lakukan yang terbaik!" pintanya.

Doktor pun bergegas kembali ke ruang persalinan. Nampaknya dia sudah berpengalaman menangani masalah darurat atau kritikal seperti ini. Dan dia tahu apa yang harus dilakukannya.




Ini adalah satu salah satu contoh, bagaimana keyakinan beragama boleh mempengaruhi keputusan di saat genting. Seorang doktor beragama Kristian/ Katolik, ia akan beruasaha menyelamatkan si anak, dan mengorbankan si ibu. Bagi doktor Muslim, ia akan berusaha menyelamatkan si ibu, dan mengorbankan si bayi.

Memang benar, kedua-duanya adalah pilihan yang sukar, tapi itulah jalan terakhir dan muktamad. Mengapa ia boleh berlaku sedemikian?

Dalam agama Kristian, setiap manusia yang lahir membawa dosa, doktrin ini dikenali dengan "dosa waris" atau "dosa asal". Manusia yang lahir sudah menanggung dosa Nabi Adam dan Hawa . Untuk menebusnya, ia harus mengikuti seorang penyelamat yakni penebus dosa (Ketua Paderi atau Pope). Doktor Kristian itu akan berjuang sedaya upaya menyelamatkan si anak,agar ia dapat lahir dengan selamat dan sihat walaupun sebaliknya terpaksa mengorbankan si ibu. Doktor berharap, setelah anak itu lahir ia akan mendapat kesempatan untuk dibaptiskan, dengan tujuan untuk menebus dosanya. Ini kerana dosanya belum sempat ditebus.

Dalam Islam, setiap manusia yang lahir dalam keadaan fitrah dan suci. Doktor Muslim akan berjuang menyelamatkan si ibu, kerana ia tidak bimbang akan bayi yang masuk neraka. Dengan terselamatnya si ibu, Insya-Allah setelah sihat kembali akan dikurniai kekuatan untuk mengandung lagi dan mudah-mudahan mendapat ganti yang lebih baik, yang lebih soleh. Sedangkan anak yang tak sempat diselamatkan, biarlah ia kembali ke Penciptanya dalam keadaan suci. Mungkin lebih baik sekiranya bayi itu tidak dilahirkan ke dunia yang penuh tipu daya ini agar hidupnya kelak tidak menjadi orang yang sesat.

Demikianlah, dalam keadaan serba salah lelaki tadi tidak sempat untuk memastikan agama doktor tadi. Dan ia sudah berserah sepenuhnya kepada doktor itu.

Di dunia ini, ada banyak agama dan kepercayaa. Kita akan sering dihadapkan dengan pilihan-pilihan yang lebih sukar, dan melibatkan akibat atau natijah yang sangat ditakuti.

Kisah ini adalah salah satu daripadanya contohnya. Beruntunglah orang yang selalu diberi jalan untuk mencari ilmu yang bermanfaat, yang selalu dijadikan pedoman dalam mengambil keputusan dari sekian banyak pilihan yang ada.

Saturday, August 7, 2010

Simbolik Tanda Salib Kristian



Penyaliban atau hukuman seksaan dengan disalib merupakan kaedah hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah ketika zaman Konstantin atau zaman yang lebih awal dari itu. Orang Kristian berkeyakinan bahawa Jesus/Yesus AS telah disalib dan menghembuskan nafasnya di atas kayu salib.



Pada peringkat awalnya orang Kristian tidak memakai salib sebagai simbol agama, tetapi mereka menggunakan burung merak, merpati, mahkota kemenangan atlet romawi dan ikan sebagai simbol kepada Agama Kristian. Setelah beberapa lama (ada yang mengatakan setelah beratus tahun) barulah salib dipakai sebagai simbol kepada Agama Kristian.



Penganut Kristian beranggapan, penyaliban Jesus AS itu sebagai tanda kasih sayang Jesus AS kepada umatnya. Iaitu menebus dosa warisan umat manusia semenjak Adam AS dan umat keseluruhannya dengan tebusan dirinya di atas kayu salib. Justeru, pengorbanan Jesus AS itu dijadikan simbol kepada Agama Kristian oleh penganutnya.

Lambang salib kalau diperhatikan ada dua jenis :

1. Lambang salib dipakai oleh gol Katolik - Ada patung Jesus pada salib
2. Lambang salib dipakai oleh protestant - Tidak ada patung Jesus pada salib
3. Lambang salib oleh Christian Orthodox