Thursday, October 3, 2013

Kerja Kosong Di Underwater World Langkawi (Job Vacancies in Underwater World Langkawi)

Underwater World Langkawi (UWL) sekarang sedang mengiklankan beberapa jawatan kosong di syarikat terbabit. Kepada sesiapa yang berminat ataupun yang sedang mencari kerja, bolehlah menghantar resume-resume kalian ke:

Email : hani_uwl@edenzil.com
           salina_uwl@edenzil.com

Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung sama ada kepada Mrs. Hanizurah atau Mrs. Salina di talian 04-9556100. Sebarang info berkenaan UWL boleh klik sini.

Senarai kekosongan jawatan boleh rujuk pada gambat kat bawah:
Poster kerja kosong kat UWL
Ps: Pelajar Sains Marin/Akuatik mungkin boleh memohon jawatan sebagai Animal Keeper/Aquarist di syarikat terbabit. 

Tuesday, October 1, 2013

MAGIS "Yang tak masuk akal boleh berlaku di sini!"

Alhamdulillah hari ini usai sudah penulis membaca hasil nukilan abang Ramlee Awang Murshid ini setelah 3 hari membacanya. Seperti yang penulis jangkakan, karya ini sangat mengujakan penulis untuk membacanya hingga agak sukar penulis untuk meletakkannya kerana mahu mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya.

Magis membawa kepada pembaca 5 watak utama yang mana watak tersebut adalah Laksamana Sunan (Trilogi Bagaikan Puteri), Mikhail (Mikhail), Ryu-Watanabe (Hatiku di Harajuku), Ejim (Tombiruo) dan Carlos (Mandatori). Setiap watak telah dibawa ke dunia masa hadapan dimana dunia di ambang kiamat setelah melihat cahaya Halo matahari yang memancar terang dan menimbulkan sifat kagum dalam diri watak-watak tersebut. Keadaan mereka sebelum mereka di 'terbang'kan ke masa hadapan turut berbeza-beza.

Saifudin ketika itu sedang berperang dengan Panglima Siam yang mahu merampas kekuasaan negeri Kayangan Bumi. Mikhail pula sedang melarikan diri daripada buruan orang Turki yang menjadi sasarannya. Ryu-Watanabe pula sedang berada di ambang maut apabila dilempar dari bangunan tinggi oleh Kobun, Ketua Yakuza Jiro. Ejim pula hampir ditetak oleh kaum yang berwajah putih, manakala Carlos pula cedera parah setelah dirempuh oleh kereta Jamil.

Mereka juga turut ditemukan dalam keadaan yang berbeza-beza di masa hadapan. Sunan telah bertemu dengan Ejim di satu kawasan hutan manakala Mikhail dan Ryu-Watanabe pula sedang melarikan diri selepas terlepas dari banduan manusia yang berpakaian Firaun. Carlos pula menjadi tawanan perang di Buyuk Bulsinatur.

Dunia di masa hadapan telah ditakluki oleh Tuan Turak. Hanya dua kawasan sahaja yang belum mampu ditakluki iaitu Mekah dan Madinah. Tuan Turak yang menguasai dunia ketika itu hanyalah merupakan seekor 'kambing hitam', boneka kepada kuasa yang lebih besar, kepada seorang makhluk berumur panjang.

Dunia yang telah porak peranda ketika itu menyaksikan peperangan antara makhluk kafir dengan sisa manusia yang masih beriman, iaitu orang Memalik. Di akhir pertarungan, kesemua watak utama telah mati dan begitu juga kesemua orang Memalik. Yang tinggal hanyalah Sunan menentang Tuan Turak. Setelah mengalami susah payah, Sunan pun berhasil mengalahkan Tuan Turak.

Tatkala itu muncul kabut hitam yang didalamnya memancarkan sepasang mata berwarna merah. Apabila kelibat itu makin mendekat, maka terlihatlah di dahinya perkataan 'Kafir', yakni walaupun tidak disebut secara jelas di dalam novel, mungkin itulah dajal.

Walaubagaimanapun, peperangan tersebut ditamatkan apabila nyawa Sunan dicabut oleh angin lembut yang bertiup mengambil nyawa setiap orang yang beriman atas izin Allah SWT. Maka kembalilah setiap watak ke dunia asal mereka. Lantaran daripada itu, Sunan mengambil keputusan untuk menulis mushaf yang menceritakan tentang pengembaraan mereka untuk dijadikan pedoman pada manusia akan datang.

Penulis sangat senang hati apabila membaca pengakhiran cerita dalam novel tersebut. Risham dan Mahmud Fazdil telah bertemu di sebuah muzium ketika mereka sedang menatap mushaf Sunan tersebut dan mereka berpelukan gembira.

Moral of the story, manusia hendaklah sentiasa ingat kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali mensyirikkanNya. Banyak bangsa telah musnah ekoran keingkaran mereka terhadap Allah SWT. Di dalam novel itu juga turut memaparkan bahawa kiamat semakin hampir dan manusia telah semakin melupakan Tuhan mereka dan dilalaikan dengan dunia yang sudah tua.

Akhir kata, selamat membaca!

ps: Tak sabar menunggu kemunculan novel seterusnya, Sunan (Epilog).

Cintakan Luruh Di OXFORD


Alhamdulillah setelah berminggu-minggu baca akhirnya habis juga penulis membaca novel hasil nukilan Noor Suraya dan Imaen ini. Buku ini penulis beli kerana stok untuk membaca buku di rumah habis. Kebetulan semasa membelek-belek buku di rak buku Popular, penulis tertarik dengan muka depan buku novel tersebut, tambahan pula ceritanya berlatar belakangkan bumi Oxford. Tebal buku itu pun lebih kurang tebal macam buku kamus Oxford dah penulis tengok.

Cerita berkisar mengenai dua orang pelajar yang belajar di LMH (Lady Margaret Hall) iaitu Zuha Zaid Salim yang mengambil jurusan kesusasteraan Inggeris dan Falah Nordin (tak ingat ambil jurusan apa). Babak cerita ini terbahagi kepada dua, bahagian pertama mengambil tempat di Oxford dimana Falah dan Zuha telah jatuh cinta pada pandangan pertama tapi masing-masing malu untuk menyatakannya. Falah takut meluahkan pada Zuha kerana takut bertepuk sebelah tangan dan sangsi antara hubungan Zuha dengan 'pakciknya', Wassim. Zuha pula tidak menyatakan hasrat hatinya kerana tidak mahu melanggar adab-adab sebagai seorang gadis Timur dan sangsi dengan keakraban antara Falah dan Damina.

Dalam masa cinta mereka mula berputik, Zuha terpaksa meninggalkan Oxford kerana mahu bersama keluarganya. Zuha meninggal Falah dalam keadaan Falah salah faham setelah melihat Zuha dan Wassim masuk ke dalam sebuah hotel.
Sinopsis novel
Babak seterusnya mengambil tempat di Bukit Dussek 5 tahun kemudian. Falah telah mendapat pekerjaan sebagai seorang pengurus estet manakala Zuha pula sebagai sebuah guru pelatih di sekolah dalam estet tersebut. Walaupun jarak antara mereka sangat dekat tetapi ironinya mereka tidak pernah berjumpa walaupun beberapa kali Falah terserempak dengan Zuha, sehinggalah pada suatu hari ketika mesyuarat PIBG diadakan di sekolah tersebut. Ketika itulah mereka bertemu kembali tetapi masih memendam perasaan hati masing-masing.

Namun segalanya berubah apabila Zuha tersalah faham apabila menyangka bahawa Falah telah berkahwin dengan Damina dan membawa rajuknya dengan memaksa Wassim berkahwin dengannya. Kemudian Zuha menyesali tindakannya apabila mengetahui bahawa Falah masih single dan masih mencari dimana Zuha menghilangkan diri.

Setelah bermacam-macam masalah yang Zuha hadapi dan berbagai cara Falah gunakan untuk memujuk Zuha, akhirnya mereka berkahwin juga pada hujung cerita ini dan bahagia. Happy ending. Apa jadi pada Wassim? Haa.. Bacalah novel ini kalau nak tahu.

Antara pengajaran yang penulis dapat daripada novel ini adalah kalau dah suka, beritahulah isi hati kepada si dia cepat-cepat sebelum dia menjadi milik orang lain. Nanti menyesal tak sudah. 

Kedua adalah pentingnya untuk menjaga adab sebagai seorang Muslim walaupun kita berada di tempat orang dan jauh daripada keluarga.

Novel ini bukan sahaja memuatkan kisah cinta yang pada penulis sangat sweet tetapi turut menerapkan unsur-unsur ketuhanan dan isu-isu politik semasa tanah air.

Akhir kata selamat membaca!

Tuesday, September 24, 2013

PLAGUE DOCTOR (DOKTOR WABAK)

Mengenakan pakaian yang seperti seorang pemotong daging - dengan jubah beserta topeng - selalu dikaitkan dengan cerita-cerita seram. Pakaian yang digunakan oleh mereka yang digelar Plague Doctor tidak kurang juga seramnya apabila dilihat. Seseorang yang berpakaian sebagai Plague Doctor selalunya dikaitkan dengan simbol kematian.
Maklumat mengenai penularan pertama penyakit wabak berjangkit ini dapat dilihat pada abad ke - 6. Penularan wabak ini bermula di Empayar Rom Timur dibawah pemerintahan Maharaja Justinian. Maharaja tersebut mati akibat dijangkiti wabak tersebut, dan wabak itu kemudiaannya dikenali dengan nama Wabak Justinian (Plague of Justinian).
Lakaran imej Plague Doctor
Wabak penyakit terbesar yang dikenali dengan nama "Black Death" (1348 - 1351), yang berasal daripada Timur melanda Eropah. Wabak tersebut tersebar dengan pantas di seluruh Eropah dengan bantuan kapal - kapal zaman pertengahan yang menjadi sarang - sarang tikus. Proses penyebaran tersebut berlaku apabila kutu menjangkiti tikus dan tikus menjangkiti kutu yang lain sehinggalah kesemua tikus itu mati. Kutu yang kelaparan akan hinggap kepada manusia dan menjangkiti manusia tersebut. Hasilnya, wabak itu tersebar di setiap negara die Eropah Barat, termasuklah Greenland. Wabak berjangkit tersebut telah membunuh seramai 25 hingga 45 juta manusia.
Cara berpakaian Plague Doctor yang menutupi hampir setiap ruang
Tiada siapa yang dijamin selamat daripada wabak tersebut. Wabak tersebut turut mebunuh Raja Perancis Louis IX, anak perempuannya, Jeanne Navarre, dan beberapa tokoh yang lain.
Michel de Nostredame - dikenali sebagai Nostradamus - adalah seseorang sangat terkenal sebagai seorang Plague Doctor. Beliau mencadangkan pesakitnya untuk minum hanya air yang telah dimasak, tidur di atas katil yang bersih, dan segera meninggalkan bandar yang telah dilanda wabak. Wabak itu secara amnya berjangkit melalui sentuhan fizikal, sama ada melalui pakaian ataupun tempat tidur. Berdasarkan pandangan tersebut, maka terhasillah pakaian untuk Plague Doctor tersebut. Para doktor dikehendaki untuk mengenakan pakaian tersebut apabila datang untuk melawat pesakit mereka.
Topeng Plague Doctor yang menyerupai paruh burung dan topi kulit, adalah untuk membuatkan doktor itu kelihatan seperti Kuasa Suci Tuhan Mesir (Egyptian Divinity) untuk menghalau wabak tersebut. Paruh tersebut sebenarnya adalah alat perlindungan pernafasan untuk menghindarkan doktor daripada menghidu bau busuk wabak itu. Paruh itu dipenuhi dengan ubatan herba untuk memudahkan proses pernafasan. Topeng tersebut mempunyai dua lubang udara dan dilengkapi dengan cermin gelas bagi melindungi mata. Para doktor juga turut mengenakan baju hujan panjang yang telah dililin beserta pakai kulit atau fabrik tebal untuk mengelakkan daripada terkena gigitan kutu dan sentuhan fizikal dengan pesakit.
Antara dekorasi topeng paruh burung
Berikut adalah ciri-ciri dan fungsi pakaian yang dikenali sebagai Plague Suit/Hazmat suit:
  • Topi hitam berkulit lebar yang dipakai menutupi kepala. Pada zaman itu, topi hitam berkulit lebar menggambarkan status seseorang sebagai seorang doktor. Topi tersebut juga berfungsi sebagai pelindung daripada jangkitan wabak penyakit.
  • Topeng gas primitif berbentuk paruh burung. Kepercayaan umum masyarakat pada zaman itu adalah wabak tersebut disebarkan melalui burung. Menjadi kepercayaan masyarakat setempat bahawa jika berpakaian dengan topeng burung, si pemakai mampu untuk menarik wabak keluar daripada tubuh pesakit dan berpindah kepada baju yang dipakai oleh doktor. Topeng tersebut juga dilengkapi dengan kaca mata merah, dipercayaai mampu membuat si pemakai kebal daripada sebarang sifat jahat. Paruh pada topeng tersebut dipenuhi dengan bau aroma herba dan rempah untuk melawan bau busuk daripada wabak.
  • Baju hujan panjang berwarna hitam. Baju hujan tersebut dipakai dengan menutupi keseluruhan muka dan leher untuk menghalang kulit daripada terdedah. Baju tersebut melepasi paras kaki, dan di saluti dengan lilin. Lilin digunakan kerana dipercayai mampu menghindar si pemakai daripada wabak.
  • Tongkat. Tongkat digunakan dalam memberi arahan kepada keluarga mangsa untuk mengalihkan pesakit, individu yang berdekatan, dan untuk memeriksa pesakit secara terus.


Monday, September 23, 2013

Rabbi (Pendeta Yahudi)


APAKAH ITU RABBI

Apabila kita terfikir mengenai Rabbi, mesti kita akan mengaitkan tugasnya hanyalah menjalankan urusan perkahwinan dan pengkebumian, atau menyampaikan khutbah pada hari perayaan. Hakikatnya ya, mereka menjalankan kesemua tugas tersebut, dan banyak lagi. Kebanyakan Rabbi adalah mereka yang memiliki kelulusan dan pengetahuan mendalam dalam Taurat dan mereka bertanggungjawab dalam memimpin komuniti Yahudi.

Rabbi secara amnya bermaksud "pengajar" dalam bahasa Hebrew. Dalam komuniti Yahudi, Rabbi bukan sahaja dipandang sebagai seorang yang alim malah juga sebagai seorang model ikutan dan seorang pendidik. Golongan Rabbi memimpin dalam upacara keagamaan, seperti upacara hari Shabbat dan upacara hari Suci  pada Rosh HaShanah dan Yom Kippur.

Yom Kippur
Hari Shabbat

Para Rabbi juga bertanggungjawab dalam melaksanakan upacara tahunan seperti Bar Mitzvahs (lelaki) dan Bat Mitzvahs (perempuan), menamakan bayi yang baru lahir, perkahwinan dan pengkebumian.

Upacara Bat Mitzvahs
BAGAIMANA SEORANG YAHUDI ITU MENJADI RABBI


Gelaran Rabbi hanya diberikan kepada mereka yang telah menerima 'Rabbinical Ordination', yang mana mereka perlu menghadapi peperiksaan yang ketat dalam Taurat dan Talmud.

Walaupun secara tradisi gelaran Rabbi dipegang oleh golongan lelaki, pada tahun 1972 wanita telah diberi kelonggaran untuk menjadi Rabbi (kecuali pada pengikut Orthodox). Untuk menjadi Rabbi, seseorang itu perlu dilatih selama 5 tahun di Hebrew Union College (Reform) atau di Jewish Theological Seminary (Conservative).

Rabbi dari golongan wanita
Rabbi dari golongan Orthodox akan belajar di seminar Orthodox yang dipanggil yeshivot. Apabila seseorang itu telah tamat pengajiannya, mereka akan menerima gelaran Rabbi, pada upacara yang dipanggil s'michah. Perkataan s'michah pula merujuk kepada maksud penyerahan jubah Rabbi kepada mereka yang telah menerima gelaran tersebut.

Golongan Rabbi Orthodox
Para Rabbi biasanya akan dipanggil "Rabbi [nama]" tetapi mereka juga boleh di
panggil sebagai "Rabbi", "Rebbe" atau "Reb". Perkataan Hebrew untuk Rabbi ialah "Rav", salah satu perkataan lain yang digunakan untuk merujuk kepada Rabbi.

Menerima Ordinan bukanlah bermakna tamatnya tugas Rabbi dalam mempelajari Taurat. Dalam erti kata yang lain, ia adalah satu permulaan. Komuniti Rabbi akan terus mendalami ilmu dan mencari kebenaran untuk sepanjang hidupnya, dengan harapan untuk mendapat lebih pencerahan dan pengetahuan mengenai Tuhan dan Taurat.

Monday, April 25, 2011

HUBUNGAN ANTARA AGAMA DI MALAYSIA



Di Malaysia, berkongsi sambutan perayaan merupakan fenomena biasa dan merupakan salah satu medium untuk mendedahkan pemahaman antara agama dan budaya masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Selaras dengan gagasan 1 Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri najib Tun Razak yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum di Malaysia.

Dialog Antara Agama
Mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengulas mengenai konsep berdialog antara agama yang dicadang untuk dilaksanakan di Malaysia. Ujar beliau masyarakat Malaysia masih lagi berfikiran konservatif dan tidak selesa dengan idea dialog antara agama ini dan masa yang lama adalah perlu untuk menerapkan konsep ini kepada rakyat berbilang kaum.
Mantan Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mencadangkan kepada seluruh agama di dunia untuk berdialog secara terbuka terutamanya bagi menghapuskan salah tanggap terhadap kepercayaan masing-masing khususnya Islam. Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya wajar menyahut seruan Perdana Menteri kita sendiri. Umat Islam wajar mengusahakan momentum ke arah itu. Usaha mendidik masyarakat untuk berdialog adalah perlu. Dialog boleh merangkumi aspek-aspek keagamaan mahupun isu-isu sosial.

Sistem Pendidikan
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh di implimentasikan, antaranya melalui sistem pendidikan negara dan peranan media massa dalam menyebarkan maklumat yang sahih dalam usaha untuk menghilangkan rasa tidak selesa masyarakat terhadap kepercayaan agama lain. Punca utama timbul salah faham antara masyarakat adalah disebabkan kurangnya pengetahuan terhadap sistem kepercayaan agama lain. Perkara ini boleh menyumbang kepada sikap prejudis terhadap sesuatu agama dalam kehidupan.
Institusi pengajian tinggi wajar melaksanakan satu subjek yang memperkenalkan kepada pelajar setiap agama-agama yang wujud di dunia. Dengan cara ini, minda pelajar-pelajar dapat dibuka terhadap sesebuah agama untuk memastikan dialog antara agama tercapai di masa hadapan.
Bagi menangani perkara ini, kerajaan telah mengambil langkah dengan mewajibkan semua pelajar untuk mengambil subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) untuk membekalkan pelajar dengan ilmu mengenai sesebuah tamadun dan agama. Walaubagaimanapun, dialog antara agama wajar ditambah dalam mata pelajaran Titas bagi melahirkan pelajar dengan keyakinan yang cukup untuk berdialog dan mengemukakan hujah bernas untuk membetulkan tafsir dan kekeliruan yang menjadi dilema penganut agama lain terhadap agama Islam.

Islam Hadhari dan Dasar Islamisasi
Islam Hadhari yang dicanangkan oleh Tun Abdullah juga mempunyai kaitan yang kuat dalam hubungan antara agama dan juga pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia. Pelaksanaan dasar Islamisasi oleh kerajaan pada tahun 1982 telah membuatkan penganut agama lain risau berkenaan hak kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Mereka telah melaksanakan pelbagai agenda sehingga tertubuhnya Majlis Perundingan Agama-Agama Malaysia sebagai platform untuk menyuarakan tuntutan kepada kerajaan. Hal ini berikutan kegagalan pihak kerajaan untuk menerangkan keseluruhan dasar tersebut kepada masyarakat bukan Islam.
Dengan pelaksanaan Islam Hadhari, proses dialog antara kerajaaan dengan seluruh masyarakat terutama bukan Islam harus berjalan dengan lancar. Segala maklumat mengenai Islam Hadhari akan difahami dengan jelas dan segala salah faham dapat dielakkan. Disebabkan pelaksanaan Islam Hadhari yang dijalankan oleh kerajaan masih belum jelas, para penyelidik dan ahli akademik harus menjalankan penyelidikan dan mengadakan pendekatan menyeluruh.
Antara perkara-perkara penting yaang wajar dijadikan dasar kajian adalah seperti aspek budaya, kepercayaan dan agama. Semua faktor ini mampu memupuk sikap saling menghormati di antara masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya di negara ini. Dialog antara agama merupakan medium baru dalam berdakwah kepada kaum lain di samping medan untuk mencapai perpaduan dan kedamaian dalam negara yang berbilang agama, bangsa dan budaya seperti di Malaysia. 

Saturday, October 9, 2010

Pantang Larang Dan Kepercayaan Dalam Amalan Pengkebumian Yahudi



Berikut ialah pantang-larang dan kepercayaan yang diamalkan oleh para penganut agama Judais:

* Tidak dibenarkan membawa bunga ke tanah perkuburan kerana menganggap ianya membazir.
* Tidak dibolehkan mengawet mayat.
* Mesti menanam mayat pada hari yang sama atau secepat yang boleh.
* Keranda hendaklah dibuat dari kayu bukannya kepingan logam atau plastik.
* Di dalam keranda tidak dibenarkan meletakkan sebarang barang-barang kesayangan si mati. Menurut kepercayaan rabbi Yahudi, manusia lahir ke dunia tanpa apa-apa dan mereka perlu kembali ke tuhan tanpa apa-apa.
* Berhenti 7 kali semasa keranda dibawa ke kawasan perkuburan. Setiap kali berhenti, ayat dari Kitab Taurat perlu dibaca. Biasanya mereka membaca Surah Psalm (ayat ke-91).
* Setiap ahli-ahli berkabung (Onen) diharuskan memakai tanda khusus pada baju sebagai tanda berkabung atau kesedihan kematian seseorang. Tanda itu biasanya berupa pin baju.
* Setiap Onen juga diharuskan meratapi kematian si mati sebagai tanda kasih sayang akan kehilangan si mati.


(Gambar) Rasulullah SAW melarang meratapi kematian secara berlebih-lebihan kerana ia menyerupai amalan agama Yahudi.

Kesimpulan

Jika dilihat pada tatacara amalan pengkebumian mayat, terdapat beberapa bahagian yang kelihatan hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh umat Islam. Ini bukanlah bermakna kita umat Islam telah meniru amalan Yahudi, ini bermaksud kaum Bani Israel lebih dahulu melakukan hal-hal demikian sebagai mengikut ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakob.

Hal ini telah dinyatakan Allah di dalam surah an-Nal (ayat 123) yang bermaksud;

“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.”

Namun begitu, amalan-amalan di atas kebanyakannya hanya diamalkan oleh penganut-penganut Judais di Israel khususnya golongan orthodoks. Manakala sebahagian besar orang Yahudi berfahaman sekular di Israel lebih gemar menyerahkan urusan berikut kepada Syarikat Persendirian yang menguruskan mayat. Ada juga yang lebih suka membakar mayat dan menanam abu sahaja.

Atas perubahan ini maka berlakulah percanggahan amalan dalam masyarakat Yahudi sehingga golongan Orthodoks terpaksa pula membuat fatwa sendiri bagi menjaga masyarakat mereka.