Tuesday, October 15, 2013

Sambutan Hari Raya Eidul Adha di Seluruh Dunia

Hari Raya Eidul Adha (ataupun Hari Raya Aidil Adha/Haji di Malaysia) merupakan perayaan yang disambut oleh golongan Muslim bagi menandakan berakhirnya dalam melaksanakan ibadah Haji di Mekah. Eidul Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Qurban, dan ianya berkait rapat dengan penceritaan Nabi Ibrahim (Abraham) dalam melaksanakan suruhan Allah SWT.

Menurut pandangan golongan Muslim, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail. Walaupun Nabi Ibrahim sangat menyayangi anaknya, kepercayaan dan keimanan beliau terhadap Allah SWT membuatkan beliau melaksanakan perintahNya itu. Kesungguhan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan perintah Allah SWT telah menyebabkan Allah SWT menyelamatkan nyawa Nabi Ismail dan menggantikannya dengan seekor kibas.

Eidul Adha adalah Hari Suci bagi Umat Islam dan disambut di seluruh Dunia dengan Ibadah, Qurban dan Jamuan

Di Amerika Syarikat, kebanyakan Muslim di sana menyambut Eidul Adha dengan menunaikan solat sunat di waktu pagi tanpa mengambil sarapan. Selepas menunaikan solat sunat, barulah mereka menikmati jamuan dengan keluarga dan sahabat handai secara bersama-sama.
Kanak-kanak perempuan Palestin sedang bermain buih ketika perayaan Hari Raya Eidul Adha di Bandar Nablus, Tebing Barat
Di Mesir, Eidul Adha disambut dengan menunaikan solat sunat di pagi hari serta jamuan. Ia juga dikenali sebagai Eid el-Kibr. Solat sunat di awal pagi di masjid, disusuli dengan khutbah ringkas telah menjadi tradisi Muslim disini pada hari perayaan, dan selepas menunaikan solat sunat, mereka akan bertemu dengan keluarga dan sahabat handai untuk menikmati jamuan. Pada hari ini, golongan yang berkemampuan dan badan berkebajikan akan memberikan daging korban dan makanan lain kepada fakir miskin dalam menghayati makna pengorbanan pada hari suci ini.
Umat Islam bertukar sapa di Gauhati, India
Eidul Adha disambut selama 4 hari di Pakistan. Pada hari tersebut, kedai-kedai ditutup, dan Muslim akan menghadiri solat sunat pagi dan mendengar khutbah. Selepas itu mereka akan mengadakan jamuan besar-besaran, dan mereka yang berkemampuan akan mengorbankan haiwan sembelihan, dan mereka akan berkongsi daging korban tersebut dengan keluarga, sahabat dan fakir miskin.
Solat sunat Eidul Adha di Lahore, Pakistan
Di Bangladesh, semasa Hari Raya Eidul Adha, mereka diwajibkan untuk mengorbankan binatang, dan umur serta kesihatan binatang sembelihan turut diambil kira. Binatang yang sakit adalah tidak sempurna untuk sembelihan. Sembelihan bermula ketika solat sunat pagi, dan ianya berterusan selama 3 hari semasa Hari Raya Eidul Adha di Bangladesh. Jamuan dan ibadah juga adalah lebih kurang sama dikebanyakan negara lain, kecuali sembelihan binatang dititik beratkan.
Seorang kanak-kanak sedang tidur semasa Muslim Kenya sedang menunaikan solat sunat di pinggir bandar Mombasa
Eidul Adha ialah hari yang istimewa buat umat Islam seluruh dunia. Hari ini adalah hari dimana mereka membuktikan keimanan dan keyakinan mereka kepada Allah SWT melalui haiwan sembelihan, jamuan dan ibadah. Hari raya ini disambut dengan meriah oleh umat Islam di seluruh dunia. Walaupun berbeza tradisi, namun keikhlasan melaksanakan perintah Allah SWT adalah tetap sama semasa Hari Raya Eidul Adha.
Biri-biri yang siap sedia untuk dikorbankan di Ankara, Turki
ps: Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Adha...=)

Thursday, October 10, 2013

Wahai Anakku.....





Wahai anakku,
Masihkah kamu ingat di zaman sekolah menengahmu di mana engkau dikhianati sahabatmu. Engkau pernah bertanya pada aku, mengapa sesama manusia sendiri layanannya begitu buruk sekali?

Aku tiada jawapan. Aku hanya mampu tersenyum. Melihatmu sedih menangis terperuk di dalam bilik kerana itu, aku terpaksa memikirkan jalan untuk mengembalikan senyuman yang dirompak pada wajahmu.

Wahai anakku,

Masihkah kamu ingat apa yang aku ceritakan pada masa itu?
Jika ada seseorang yang menipu kamu, sebenarnya Allah ingin menggunakan kehadirannya untuk mengajar kamu bahawa perkara di depan mata bukanlah segalanya. Kebenaran ada jauh di bawah permukaan. Dan untuk menilai seseorang, lihatlah pada hatinya.

Jika ada seseorang yang mencuri daripada kamu, sebenarnya Allah ingin mengajarmu bahawa tiada benda yang kekal di dunia ini. Hargailah apa yang ada di tangan. Kamu tidak tahu bila kamu akan kehilangannya. Jangan layan sahabat dan ahli keluargamu secara ala-kadar, kerana hari ini sahaja satu-satunya jaminan yang kamu ada untuk bersama mereka.

Bukan itu sahaja wahai anak kesayanganku,
Jika ada orang mencederakanmu, sebenarnya Allah ingin mengingatkan kamu bahawa manusia hanyalah satu makhluk yang lemah. Jagalah jasad kurniaan Allah dengan sebaik mungkin, kerana itulah satu-satunya harta yang kamu akan pegang sebelum roh kamu keluar darinya apabila tiba waktunya.

Jika ada orang yang mencemuhmu, sebenarnya Allah ingin menyedarkan kita tiada dua orang yang serupa di dunia ini. Apabila kamu berjumpa dengan orang lain, jangan sesekalimu menilai mereka daripada muka dan tindakan mereka. Nilailah mereka dari segi isi di hati mereka. Jangan juga sesekalimu memulaukan seseorang kerana kekurangannya, kerana ia akan lebih menonjolkan kekuranganmu.

Wahai anakku,
Jika orang itu melukai hatimu, Allah ingin memberitahumu bahawa perasaan sayang kadang-kala tidak berbalas. Tapi jangan kamu putus asa untuk terus menyayangi orang sesekelilingmu, kerana jika ada satu yang erti membalasnya, kamu akan mendapat beribu ganda nikmat keriangan berbanding hatimu yang terluka.

Jika ada orang marah padamu, Allah ingin mengajarmu bahawa setiap manusia akan membuat kesilapan. Jika kamu disalahkan, perkara terbaik yang boleh dibuat kamu ialah memaafkan pihak yang mengasarimu. Memaafkan seseorang mungkin adalah perkara paling sukar dan sakit di dalam pengalaman hidup kamu, tapi itu juga adalah perkara yang paling berani untuk dilakukan oleh kamu. Ingatlah, memaafkan orang lain bukan kerana mereka layak, tapi kamu, anak kesayanganku lebih layak menikmati ketenangan.

Jika ada orang yang mengkhianatimu, ingatlah bahawa Allah ingin mengajar kamu bahawa melawan hawa nafsu adalah perkara paling sukar buat seorang makhluk bergelar manusia. Kamu kena istiqamah dalam melawan nafsumu. Dengan itu, kamu akan diberi ganjaran seperti kepuasan dan pahala berpuasa yang jauh lebih daripada nikmat sementara yang dikecapi melalui nafsumu.

Oleh itu, wahai anakku, hargailah setiap pertemuan dan kehadiran orang baru di dalam hidupmu. Sebelum ajal, pastikan hidup kamu telah membawa lebih banyak senyuman kepada orang sekelilingmu daripada kesedihan.
Ingatlah pada Allah selalu. Percayalah segala ada hikmahnya.

Thursday, October 3, 2013

Kerja Kosong Di Underwater World Langkawi (Job Vacancies in Underwater World Langkawi)

Underwater World Langkawi (UWL) sekarang sedang mengiklankan beberapa jawatan kosong di syarikat terbabit. Kepada sesiapa yang berminat ataupun yang sedang mencari kerja, bolehlah menghantar resume-resume kalian ke:

Email : hani_uwl@edenzil.com
           salina_uwl@edenzil.com

Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung sama ada kepada Mrs. Hanizurah atau Mrs. Salina di talian 04-9556100. Sebarang info berkenaan UWL boleh klik sini.

Senarai kekosongan jawatan boleh rujuk pada gambat kat bawah:
Poster kerja kosong kat UWL
Ps: Pelajar Sains Marin/Akuatik mungkin boleh memohon jawatan sebagai Animal Keeper/Aquarist di syarikat terbabit. 

Tuesday, October 1, 2013

MAGIS "Yang tak masuk akal boleh berlaku di sini!"

Alhamdulillah hari ini usai sudah penulis membaca hasil nukilan abang Ramlee Awang Murshid ini setelah 3 hari membacanya. Seperti yang penulis jangkakan, karya ini sangat mengujakan penulis untuk membacanya hingga agak sukar penulis untuk meletakkannya kerana mahu mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya.

Magis membawa kepada pembaca 5 watak utama yang mana watak tersebut adalah Laksamana Sunan (Trilogi Bagaikan Puteri), Mikhail (Mikhail), Ryu-Watanabe (Hatiku di Harajuku), Ejim (Tombiruo) dan Carlos (Mandatori). Setiap watak telah dibawa ke dunia masa hadapan dimana dunia di ambang kiamat setelah melihat cahaya Halo matahari yang memancar terang dan menimbulkan sifat kagum dalam diri watak-watak tersebut. Keadaan mereka sebelum mereka di 'terbang'kan ke masa hadapan turut berbeza-beza.

Saifudin ketika itu sedang berperang dengan Panglima Siam yang mahu merampas kekuasaan negeri Kayangan Bumi. Mikhail pula sedang melarikan diri daripada buruan orang Turki yang menjadi sasarannya. Ryu-Watanabe pula sedang berada di ambang maut apabila dilempar dari bangunan tinggi oleh Kobun, Ketua Yakuza Jiro. Ejim pula hampir ditetak oleh kaum yang berwajah putih, manakala Carlos pula cedera parah setelah dirempuh oleh kereta Jamil.

Mereka juga turut ditemukan dalam keadaan yang berbeza-beza di masa hadapan. Sunan telah bertemu dengan Ejim di satu kawasan hutan manakala Mikhail dan Ryu-Watanabe pula sedang melarikan diri selepas terlepas dari banduan manusia yang berpakaian Firaun. Carlos pula menjadi tawanan perang di Buyuk Bulsinatur.

Dunia di masa hadapan telah ditakluki oleh Tuan Turak. Hanya dua kawasan sahaja yang belum mampu ditakluki iaitu Mekah dan Madinah. Tuan Turak yang menguasai dunia ketika itu hanyalah merupakan seekor 'kambing hitam', boneka kepada kuasa yang lebih besar, kepada seorang makhluk berumur panjang.

Dunia yang telah porak peranda ketika itu menyaksikan peperangan antara makhluk kafir dengan sisa manusia yang masih beriman, iaitu orang Memalik. Di akhir pertarungan, kesemua watak utama telah mati dan begitu juga kesemua orang Memalik. Yang tinggal hanyalah Sunan menentang Tuan Turak. Setelah mengalami susah payah, Sunan pun berhasil mengalahkan Tuan Turak.

Tatkala itu muncul kabut hitam yang didalamnya memancarkan sepasang mata berwarna merah. Apabila kelibat itu makin mendekat, maka terlihatlah di dahinya perkataan 'Kafir', yakni walaupun tidak disebut secara jelas di dalam novel, mungkin itulah dajal.

Walaubagaimanapun, peperangan tersebut ditamatkan apabila nyawa Sunan dicabut oleh angin lembut yang bertiup mengambil nyawa setiap orang yang beriman atas izin Allah SWT. Maka kembalilah setiap watak ke dunia asal mereka. Lantaran daripada itu, Sunan mengambil keputusan untuk menulis mushaf yang menceritakan tentang pengembaraan mereka untuk dijadikan pedoman pada manusia akan datang.

Penulis sangat senang hati apabila membaca pengakhiran cerita dalam novel tersebut. Risham dan Mahmud Fazdil telah bertemu di sebuah muzium ketika mereka sedang menatap mushaf Sunan tersebut dan mereka berpelukan gembira.

Moral of the story, manusia hendaklah sentiasa ingat kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali mensyirikkanNya. Banyak bangsa telah musnah ekoran keingkaran mereka terhadap Allah SWT. Di dalam novel itu juga turut memaparkan bahawa kiamat semakin hampir dan manusia telah semakin melupakan Tuhan mereka dan dilalaikan dengan dunia yang sudah tua.

Akhir kata, selamat membaca!

ps: Tak sabar menunggu kemunculan novel seterusnya, Sunan (Epilog).

Cintakan Luruh Di OXFORD


Alhamdulillah setelah berminggu-minggu baca akhirnya habis juga penulis membaca novel hasil nukilan Noor Suraya dan Imaen ini. Buku ini penulis beli kerana stok untuk membaca buku di rumah habis. Kebetulan semasa membelek-belek buku di rak buku Popular, penulis tertarik dengan muka depan buku novel tersebut, tambahan pula ceritanya berlatar belakangkan bumi Oxford. Tebal buku itu pun lebih kurang tebal macam buku kamus Oxford dah penulis tengok.

Cerita berkisar mengenai dua orang pelajar yang belajar di LMH (Lady Margaret Hall) iaitu Zuha Zaid Salim yang mengambil jurusan kesusasteraan Inggeris dan Falah Nordin (tak ingat ambil jurusan apa). Babak cerita ini terbahagi kepada dua, bahagian pertama mengambil tempat di Oxford dimana Falah dan Zuha telah jatuh cinta pada pandangan pertama tapi masing-masing malu untuk menyatakannya. Falah takut meluahkan pada Zuha kerana takut bertepuk sebelah tangan dan sangsi antara hubungan Zuha dengan 'pakciknya', Wassim. Zuha pula tidak menyatakan hasrat hatinya kerana tidak mahu melanggar adab-adab sebagai seorang gadis Timur dan sangsi dengan keakraban antara Falah dan Damina.

Dalam masa cinta mereka mula berputik, Zuha terpaksa meninggalkan Oxford kerana mahu bersama keluarganya. Zuha meninggal Falah dalam keadaan Falah salah faham setelah melihat Zuha dan Wassim masuk ke dalam sebuah hotel.
Sinopsis novel
Babak seterusnya mengambil tempat di Bukit Dussek 5 tahun kemudian. Falah telah mendapat pekerjaan sebagai seorang pengurus estet manakala Zuha pula sebagai sebuah guru pelatih di sekolah dalam estet tersebut. Walaupun jarak antara mereka sangat dekat tetapi ironinya mereka tidak pernah berjumpa walaupun beberapa kali Falah terserempak dengan Zuha, sehinggalah pada suatu hari ketika mesyuarat PIBG diadakan di sekolah tersebut. Ketika itulah mereka bertemu kembali tetapi masih memendam perasaan hati masing-masing.

Namun segalanya berubah apabila Zuha tersalah faham apabila menyangka bahawa Falah telah berkahwin dengan Damina dan membawa rajuknya dengan memaksa Wassim berkahwin dengannya. Kemudian Zuha menyesali tindakannya apabila mengetahui bahawa Falah masih single dan masih mencari dimana Zuha menghilangkan diri.

Setelah bermacam-macam masalah yang Zuha hadapi dan berbagai cara Falah gunakan untuk memujuk Zuha, akhirnya mereka berkahwin juga pada hujung cerita ini dan bahagia. Happy ending. Apa jadi pada Wassim? Haa.. Bacalah novel ini kalau nak tahu.

Antara pengajaran yang penulis dapat daripada novel ini adalah kalau dah suka, beritahulah isi hati kepada si dia cepat-cepat sebelum dia menjadi milik orang lain. Nanti menyesal tak sudah. 

Kedua adalah pentingnya untuk menjaga adab sebagai seorang Muslim walaupun kita berada di tempat orang dan jauh daripada keluarga.

Novel ini bukan sahaja memuatkan kisah cinta yang pada penulis sangat sweet tetapi turut menerapkan unsur-unsur ketuhanan dan isu-isu politik semasa tanah air.

Akhir kata selamat membaca!

Tuesday, September 24, 2013

PLAGUE DOCTOR (DOKTOR WABAK)

Mengenakan pakaian yang seperti seorang pemotong daging - dengan jubah beserta topeng - selalu dikaitkan dengan cerita-cerita seram. Pakaian yang digunakan oleh mereka yang digelar Plague Doctor tidak kurang juga seramnya apabila dilihat. Seseorang yang berpakaian sebagai Plague Doctor selalunya dikaitkan dengan simbol kematian.
Maklumat mengenai penularan pertama penyakit wabak berjangkit ini dapat dilihat pada abad ke - 6. Penularan wabak ini bermula di Empayar Rom Timur dibawah pemerintahan Maharaja Justinian. Maharaja tersebut mati akibat dijangkiti wabak tersebut, dan wabak itu kemudiaannya dikenali dengan nama Wabak Justinian (Plague of Justinian).
Lakaran imej Plague Doctor
Wabak penyakit terbesar yang dikenali dengan nama "Black Death" (1348 - 1351), yang berasal daripada Timur melanda Eropah. Wabak tersebut tersebar dengan pantas di seluruh Eropah dengan bantuan kapal - kapal zaman pertengahan yang menjadi sarang - sarang tikus. Proses penyebaran tersebut berlaku apabila kutu menjangkiti tikus dan tikus menjangkiti kutu yang lain sehinggalah kesemua tikus itu mati. Kutu yang kelaparan akan hinggap kepada manusia dan menjangkiti manusia tersebut. Hasilnya, wabak itu tersebar di setiap negara die Eropah Barat, termasuklah Greenland. Wabak berjangkit tersebut telah membunuh seramai 25 hingga 45 juta manusia.
Cara berpakaian Plague Doctor yang menutupi hampir setiap ruang
Tiada siapa yang dijamin selamat daripada wabak tersebut. Wabak tersebut turut mebunuh Raja Perancis Louis IX, anak perempuannya, Jeanne Navarre, dan beberapa tokoh yang lain.
Michel de Nostredame - dikenali sebagai Nostradamus - adalah seseorang sangat terkenal sebagai seorang Plague Doctor. Beliau mencadangkan pesakitnya untuk minum hanya air yang telah dimasak, tidur di atas katil yang bersih, dan segera meninggalkan bandar yang telah dilanda wabak. Wabak itu secara amnya berjangkit melalui sentuhan fizikal, sama ada melalui pakaian ataupun tempat tidur. Berdasarkan pandangan tersebut, maka terhasillah pakaian untuk Plague Doctor tersebut. Para doktor dikehendaki untuk mengenakan pakaian tersebut apabila datang untuk melawat pesakit mereka.
Topeng Plague Doctor yang menyerupai paruh burung dan topi kulit, adalah untuk membuatkan doktor itu kelihatan seperti Kuasa Suci Tuhan Mesir (Egyptian Divinity) untuk menghalau wabak tersebut. Paruh tersebut sebenarnya adalah alat perlindungan pernafasan untuk menghindarkan doktor daripada menghidu bau busuk wabak itu. Paruh itu dipenuhi dengan ubatan herba untuk memudahkan proses pernafasan. Topeng tersebut mempunyai dua lubang udara dan dilengkapi dengan cermin gelas bagi melindungi mata. Para doktor juga turut mengenakan baju hujan panjang yang telah dililin beserta pakai kulit atau fabrik tebal untuk mengelakkan daripada terkena gigitan kutu dan sentuhan fizikal dengan pesakit.
Antara dekorasi topeng paruh burung
Berikut adalah ciri-ciri dan fungsi pakaian yang dikenali sebagai Plague Suit/Hazmat suit:
  • Topi hitam berkulit lebar yang dipakai menutupi kepala. Pada zaman itu, topi hitam berkulit lebar menggambarkan status seseorang sebagai seorang doktor. Topi tersebut juga berfungsi sebagai pelindung daripada jangkitan wabak penyakit.
  • Topeng gas primitif berbentuk paruh burung. Kepercayaan umum masyarakat pada zaman itu adalah wabak tersebut disebarkan melalui burung. Menjadi kepercayaan masyarakat setempat bahawa jika berpakaian dengan topeng burung, si pemakai mampu untuk menarik wabak keluar daripada tubuh pesakit dan berpindah kepada baju yang dipakai oleh doktor. Topeng tersebut juga dilengkapi dengan kaca mata merah, dipercayaai mampu membuat si pemakai kebal daripada sebarang sifat jahat. Paruh pada topeng tersebut dipenuhi dengan bau aroma herba dan rempah untuk melawan bau busuk daripada wabak.
  • Baju hujan panjang berwarna hitam. Baju hujan tersebut dipakai dengan menutupi keseluruhan muka dan leher untuk menghalang kulit daripada terdedah. Baju tersebut melepasi paras kaki, dan di saluti dengan lilin. Lilin digunakan kerana dipercayai mampu menghindar si pemakai daripada wabak.
  • Tongkat. Tongkat digunakan dalam memberi arahan kepada keluarga mangsa untuk mengalihkan pesakit, individu yang berdekatan, dan untuk memeriksa pesakit secara terus.


Monday, September 23, 2013

Rabbi (Pendeta Yahudi)


APAKAH ITU RABBI

Apabila kita terfikir mengenai Rabbi, mesti kita akan mengaitkan tugasnya hanyalah menjalankan urusan perkahwinan dan pengkebumian, atau menyampaikan khutbah pada hari perayaan. Hakikatnya ya, mereka menjalankan kesemua tugas tersebut, dan banyak lagi. Kebanyakan Rabbi adalah mereka yang memiliki kelulusan dan pengetahuan mendalam dalam Taurat dan mereka bertanggungjawab dalam memimpin komuniti Yahudi.

Rabbi secara amnya bermaksud "pengajar" dalam bahasa Hebrew. Dalam komuniti Yahudi, Rabbi bukan sahaja dipandang sebagai seorang yang alim malah juga sebagai seorang model ikutan dan seorang pendidik. Golongan Rabbi memimpin dalam upacara keagamaan, seperti upacara hari Shabbat dan upacara hari Suci  pada Rosh HaShanah dan Yom Kippur.

Yom Kippur
Hari Shabbat

Para Rabbi juga bertanggungjawab dalam melaksanakan upacara tahunan seperti Bar Mitzvahs (lelaki) dan Bat Mitzvahs (perempuan), menamakan bayi yang baru lahir, perkahwinan dan pengkebumian.

Upacara Bat Mitzvahs
BAGAIMANA SEORANG YAHUDI ITU MENJADI RABBI


Gelaran Rabbi hanya diberikan kepada mereka yang telah menerima 'Rabbinical Ordination', yang mana mereka perlu menghadapi peperiksaan yang ketat dalam Taurat dan Talmud.

Walaupun secara tradisi gelaran Rabbi dipegang oleh golongan lelaki, pada tahun 1972 wanita telah diberi kelonggaran untuk menjadi Rabbi (kecuali pada pengikut Orthodox). Untuk menjadi Rabbi, seseorang itu perlu dilatih selama 5 tahun di Hebrew Union College (Reform) atau di Jewish Theological Seminary (Conservative).

Rabbi dari golongan wanita
Rabbi dari golongan Orthodox akan belajar di seminar Orthodox yang dipanggil yeshivot. Apabila seseorang itu telah tamat pengajiannya, mereka akan menerima gelaran Rabbi, pada upacara yang dipanggil s'michah. Perkataan s'michah pula merujuk kepada maksud penyerahan jubah Rabbi kepada mereka yang telah menerima gelaran tersebut.

Golongan Rabbi Orthodox
Para Rabbi biasanya akan dipanggil "Rabbi [nama]" tetapi mereka juga boleh di
panggil sebagai "Rabbi", "Rebbe" atau "Reb". Perkataan Hebrew untuk Rabbi ialah "Rav", salah satu perkataan lain yang digunakan untuk merujuk kepada Rabbi.

Menerima Ordinan bukanlah bermakna tamatnya tugas Rabbi dalam mempelajari Taurat. Dalam erti kata yang lain, ia adalah satu permulaan. Komuniti Rabbi akan terus mendalami ilmu dan mencari kebenaran untuk sepanjang hidupnya, dengan harapan untuk mendapat lebih pencerahan dan pengetahuan mengenai Tuhan dan Taurat.